ADUN BN DAKWA KERAJAAN S’NGOR BERI TANAH KEPADA KRONI

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN hari ini mendakwa kerajaan negeri Selangor pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi tanah kepada kroni dengan menggunakan maklumat palsu.

ADUN Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak berkata berdasarkan semakan yang dibuat pihaknya mendapati seramai 18 senarai penerima tanah kawasan Sungai Yu diberikan kerajaan negeri menggunakan kad pengenalan palsu.

Malah, apa yang lebih menyedihkan Sulaiman mendakwa lot tanah terbabit tidak diberikan kepada penduduk asal penempatan kawasan berkenaan.

“Saya amat kecewa, yang pertama daripada jumlah ini saya beritahu tadi bahawa sebahagian besar yang menerima bukan penduduk tempatan sebagaimana jawapan exco sebelum ini bahawa orang tempatan sepatutnya dapat hak milik tanah berkenan. Ada (penerima) daripada Batu Kawan,Kuala Kangsar, Rembau, Masjid Tanah, Hulu Selangor, saya amat kecewa.

“Jumlah yang diberikan kepada saya oleh exco yang saya anggap daripada pihak kerajaan kepada saya apabila saya kenal pasti ada beberapa perkara yang saya rasa amat kecewa, lapan belas nama yang ada dalam senarai yang diberi dipalsukan butiran kad pengenalan.

“Saya anggap dipalsukan sebab saya buat semakan di JPN, IC yang diberi dalam jawapan ini. Saya ada nama yang mana kad pengenalan itu adalah kad pengenalan palsu,” dakwa Sulaiman dalam sidang media di lobi bangunan Annex DUN Selangor di Shah Alam, hari ini.

Sulaiman berkata demikian merujuk kepada senarai nama penerima tanah yang didedahkan Exco Kemiskinan Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, Ganabatirau Veraman yang juga ADUN Kota Alam Shah pada sidang DUN Selangor yang lepas.

Oleh itu, Sulaiman mendesak mana-mana wakil kerajaan selangor termasuklah exco terlibat perlu dirujuk Jawatankuasa Hak dan Kebebasan (JKHK) DUN Selangor kerana memberi maklumat palsu kepada dewan.

“Dalam dewan yang mulia ini barang siapa yang memberikan jawapan palsu ia sewajarnya dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan kerana memberi jawapan dan maklumat palsu kepada Adun.

“Ini kesalahan yang sangat besar, memberikan kenyataan palsu dan memberikan maklumat palsu. Lapan belas nama, kita tak dapat temui pun mereka ini, apakah ini hantu pun dapat tanah. Berdasarkan nama, ada dua orang ketua kampung PKR tetapi jawapan dalam dewan namanya ia dipalsukan dan saya tahu ia ketua kampung (kawasan saya).

“Saya juga minta kalau pegawai jabatan terlibat saya nak minta kerajaan negeri ambil tindakan kerana memberi maklumat palsu, kalau jawapan itu datang daripada exco saya nak minta exco dihadapkan ke jabatan hak dan kebebasan dewan dan saya secara peribadi sebagai ADUN kawasan saya dah laksanakan tanggungjawab saya,” katanya sambil meminta speaker sebagai pengerusi Selcat membuat pendengaran awam secara terbuka berhubung isu skandal tanah di Sungai Yu.

Enggan dedah satu keluarga besar

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata antara penerima tanah terbabit adalah mereka yang tidak berkelayakkan serta yang berpangkat doktor dan juga guru.

“Saya sebut dalam dewan satu keluarga besar dapat, isteri dapat, empat adik-beradik dapat, anak dua orang dapat, adik ipar pun dapat, besan pun dapat( ayah kepada menantu).

“Dua orang daripadanya adalah doktor, sepatutnya jawapan yang diberikan oleh exco dalam perbahasan lepas adalah mereka yang berpendapatan RM2000 kebawah, doktor gaji RM2000 ke? Ada dua kakitangan awam berpangkat pegawai, guru, nama mereka saya akan dedahkan nanti cuma saya tunggu jawapa bertulis dahulu.

“Ada satu lagi keluarga besar tapi saya tak dedahkan lagi, saya nak tunggu kalau exco (kata) kalau tak betul saya akan dedahkannya, atas dasar yang kononnya memperjuangkan hak dan kebebasan, keadilan sosial mana mungkin kleptokrasi bila dapat kuasa kerajaan Selangor mereka buat macam ini kepada kroni mereka,” katanya sambil memaklumkan seorang pegawai khas kepada ADUN Kota Alam Shah turut tersenarai penerima tanah tersebut.

Dakwaan kelirukan DUN

Bagaimanapun dakwaan ADUN Permatang itu dibidas sebagai cuba mengelirukan Dewan Undangan Negeri Selangor.

Malah, Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata tindakan Sulaiman yang mengeluarkan kenyataan tersebut disifatkan sebagai prejudis kerana tidak memberikan bukti jelas.

“Saya minta yang berhormat Permatang jangan kelirukan Dewan. Adakah jawapan berkenaan ditandatangan oleh saya?

“Anda rujuk nama saya, sepatutnya Permatang perlu nyatakan jawapan itu (diperoleh) daripada Kerajaan. Bukan memetik nama Kota Alam Shah.

“Jaga adab, Permatang rujuk Kerajaan dan kita akan buat semakan,” katanya kepada Malaysiakini di DUN Selangor, hari ini.

Buat laporan polis

Bagaimanapun, mengulas lanjut Ganabatirau yang ditemui Malaysiakini berkata beliau mahu Sulaiman membuat laporan polis mengenai dakwaan tersebut.

“Benar ke? Kalau benar saya minta dia membuat laporan polis.

“Sebab setahu saya, saya tak tulis jawapan tersebut dan saya kurang pasti tentang jawapan tersebut.

“Dan segala permohonan itu tanpa kad pengenalan bagaimana ia dapat diluluskan. Bila keluar Notis 5A tak akan kita nak letak nama Ramli Bin Ahmad tanpa letak nombor kad pengenalan.

“Tuduhan boleh buat tapi mesti disertakan dengan bukti.

ADUN sedia ke Selcat

Tambah Ganabatirau beliau juga bersedia untuk perkara itu dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) untuk dibincangkan.

“Saya sedia perkara itu dibawa ke Selcat,” tambah Ganabatirau.

Ogos tahun lalu, Penduduk kaum India Kampung Sungai Yu dilaporkan menggesa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menarik semula pemberian kesemua 153 lot tanah yang diagihkan menerusi skim rancangan tanah kampung tersebut.

Ini kerana mereka mendakwa berlaku amalan nepotisme dan salah guna kuasa dalam pengagihan lot tanah penempatan semula kawasan itu yang didakwa didalangi seorang Exco kerajaan negeri.

Presiden Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas), Rajaretinam Armuggan, yang bersama penduduk kaum India Kampung Sungai Yu, mendakwa sebahagian daripada lot tanah-tanah tersebut diagihkan kepada ‘kroni’ iaitu mereka yang rapat dengan Exco tersebut.

Penduduk berharap selepas tindakan pembatalan penyerahan kesemua lot tanah terbabit dibuat, ia diagihkan semula dengan adil dan telus kepada mereka yang benar-benar berhak.

Tindakan itu menyebabkan penduduk asal yang rata-ratanya miskin tidak mendapat hak mereka.

Mengikut kriteria yang ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor, mereka yang layak menerima lot tanah yang bernilai sekitar RM130,000 itu adalah mereka yang berketurunan India, seorang warga asal Kuala Selangor, berusia 30 tahun dan ke atas, berpendapatan bawah RM3,000, serta tidak memiliki sebarang hartanah.

– M’kini

.