ADIK SHAFIE DITAHAN SPRM

ADIK lelaki kepada Presiden Parti Warisan Sabah, Shafie Apdal yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk soal siasat awal hari sudah ditahan.

Sumber SPRM mengesahkan yang Hamid Apdal ditahan pada jam 9.30 malam di pejabat SPRM Sabah.

Dia ditahan untuk membantu siasatan penyelewengan peruntukan projek luar bandar di Sabah berjumlah RM1.5 bilion.

Difahamkan yang dia tiba di pejabat SPRM Sabah di Kota Kinabalu pagi tadi.

Lelaki berusia 52 tahun itu adalah ahli Umno Bahagian Semporna dan bekerja sebagai sukarelawan di sebuah masjid di Sabah. SPRM juga menyerbu rumahnya di Putatan sebelum beredar sekitar jam 6 petang tadi.

Setakat ini SPRM sudah menahan Naib Presiden Warisan, Peter Anthony, Ketua Pemuda Warisan Mohad Azis Jamman, seorang timbalan setiausaha kementerian pembangunan wilayah dan luar bandar, seorang ahli perniagaan berusia 54 tahun, Ketua Pemuda Umno Tenom Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda Umno Tawau Ariffin Kassim untuk membantu siasatan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengatakan hampir 60 syarikat dijangka terlibat dalam siasatan seleweng dana projek persekutuan itu, dan 32 orang dijangka dipanggil memberi keterangan.

Azam mengatakan yang siasatan setakat ini mendapati hampir RM1.5 bilion diselewengkan daripada peruntukan berjumlah RM7.5 bilion untuk projek luar bandar dalam tempoh enam tahun antara 2010 hingga 2016.

– https://www.themalaysianinsight.com

.