ADAKAH TUN MAHATHIR AKAN DITANGKAP SEBELUM PRU 14?

Tidak seperti mana-mana Suruhanjaya Siasatan Diraja atau RCI yang pernah ditubuhkan sebelum ini, RCI berkaitan forex ini terlihat sangat-sangat istimewa kewujudannya.

Daripada sekian banyak istimewanya seperti menyiasat perkara yang berlaku lebih 30 tahun lalu, itu pun hanya setelah Tun Mahathir Mohamad yang merupakan sasaran utama bertukar menjadi pengkritik dan serius mahu menjatuhkan Najib Razak dan hasil laporannya pula dibentangkan pada hari akhir sidang Parlimen untuk mengelak daripada dibahaskan, tetapi yang paling istimewa ialah laporan polis juga segera dibuat mengenainya.

Hampir serentak dengan pembentangannya di Parlimen semalam, Setiausaha RCI, Dr. Yusof Ismail turut membuat laporan polis di IPD Putrajaya pada waktu yang sama.

Laporan polis itu dibuat dengan tujuan meminta pihak berkuasa menyiasat secara rasmi nama-nama yang disebutkan dalam laporan RCI tersebut atas kemungkinan terlibat dalam pecah amanah, jenayah, penipuan atau lain-lain kesalahan.

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Mohamad Puzi Harun segera mengumumkan tertubuhnya pasukan khas untuk menyiasat nama-nama yang dicadangkan dalam laporan RCI tersebut.

Dengan begitu cepat membuat laporan polis, sudah tentu maksudnya ialah agar tindakan dapat diambil dengan sepantas-pantasnya atau lebih tepat sebelum tibanya tarikh PRU 14 yang habis edahnya pada Jun 2018.

Dalam hal ini, sudah tentu juga yang paling menjadi sasaran bukanlah Nor Mohamed Yakcop yang dipersalahkan dalam kerugian urusniaga forex itu, tetapi pastinya Tun Mahathir yang kini merupakan Pengerusi Pakatan Harapan dan Bersatu.

Sehubungan itu, tiga kemungkinan paling besar bakal  berlaku sebelum PRU 14 ini:-

– Tun Mahathir akan ditangkap dan didakwa di mahkamah serta tersekat daripada bertanding dalam pilihanraya.

– Bersatu dibatalkan pendaftarannya.

– Pakatan Harapan tidak mungkin diberikan kelulusan.

Apa akhirnya pilihan kita sebagai rakyat dan pengundi yang berakal dalam pilihanraya akan datang?

Terus memilih Najib, UMNO dan BN atas perkiraan tiada pilihan lain untuk menerajui kerajaan atau semua halangan yang disengajakan itu menjadikan kita lebih bersatu dan bulat hati asalkan  perubahan benar-benar menjadi kenyataan?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.