ADAKAH REALISTIK 15% UNDI MELAYU AKAN BERALIH DARIPADA BN DALAM PRU14?

Berapa banyakkah peralihan undi orang Melayu daripada BN yang diperlukan untuk HARAPAN untuk menawan Putrajaya?

Adakah tsunami Melayu dalam bentuk 15 peratus peralihan undi Melayu daripada BN itu sesuatu yang realistik?

“Untuk menjawab persoalan sama ada peralihan 15 peratus undi Melayu daripada BN itu adalah sesuatu unjuran yang realistik dalam PRU14, kita mesti mengkaji peralihan undi di kalangan “blok” undi yang lain dalam pilihan raya umum yang lalu di Malaysia,” kata Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming.

Beliau berkata, rakannya yang juga MP Kluang, Liew Ching Tong, telah membincangkan kemungkinan berlaku tsunami Melayu dalam pilihan raya umum ke-14 yang akan membolehkan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menang  di peringkat persekutuan.

“Pemimpin parlimen DAP, Lim Kit Siang telah menulis mengenai formula 10 dan 5, di mana 10 peratus peralihan undi Melayu dan 5 peratus undi bukan Melayu daripada BN, akan memboleh HARAPAN memenangi 113 daripada 165 parlimen (atau 68 peratus kerusi) di Semenanjung Malaysia, dan dengan itu membuka laluan ke Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jadual 1 di bawah menunjukkan unjuran sokongan untuk BN oleh kumpulan kaum dan perubahan dalam sokongan kaum untuk BN dari tahun 1995 hingga 2013.

 

 

Dari Jadual 1, kata Ong, terdapat satu contoh peralihan lebih daripada 15 peratus sokongan Melayu terhadap BN yang semasa pilihan raya ketika Reformasi 1999 di mana sokongan untuk BN di kalangan orang Melayu jatuh sebanyak 27 peratus daripada 81 peratus pada tahun 1995 kepada 54 peratus pada tahun 1999.

PAS muncul sebagai parti pembangkang terbesar di parlimen selepas pilihan raya umum 1999 dan menurutnya kehilangan sokongan untuk BN paling dirasai di Kedah, Teregganu, dan Kelantan di mana PAS memenangi sebahagian besar kerusi parlimennya.

Apa yang menyelamatkan BN pada PRU 1999, katanya, adalah tahap sokongan yang tinggi di kalangan pengundi bukan Melayu.

“Sokongan kaum Cina untuk BN meningkat pada anggaran 10 peratus – dari 55 peratus pada tahun 1995 menjadi 65 peratus pada 1999. Sokongan kaum India untuk BN kekal tinggi pada tahap lebih daripada 90 peratus.

Dalam PRU 2004, sokongan Melayu untuk BN pulih sedikit apabila ia meningkat sebanyak 11 peratus daripada 54 peratus kepada 65 peratus. Sokongan untuk BN di kalangan orang Cina meningkat 10 peratus lagi kepada kira-kira 75 peratus, salah satu tahap tertinggi dalam sejarah Malaysia. Ini adalah kesan tsunami Pak Lah yang membolehkan BN menang 91 peratus kerusi parlimen.

“Dalam PRU 2008, BN mengalami penurunan besar dalam sokongan bukan Melayu. Sokongan BN di kalangan pengundi Cina jatuh sebanyak 40 peratus (dari 75 peratus kepada 35 peratus) manakala sokongan untuk BN di kalangan pengundi India, kebanyakannya kerana pergerakan Hindraf, jatuh sekurang-kurangnya 42 peratus (dari lebih 90 peratus hingga 48 peratus). Sokongan BN di kalangan orang Melayu jatuh sedikit – dari 65 peratus hingga 59 peratus – penurunan hanya 6 peratus,” katanya.

Pada tahun 2013, kata Ong, sokongan BN di kalangan orang Melayu bertambah sedikit sebanyak 5 peratus – daripada 59 peratus kepada 64 peratus – manakala sokongan untuk BN di kalangan kaum Cina dan India merosot masing-masing 21 peratus dan 10 peratus kepada 14 peratus dan 38 peratus.

“Untuk kembali kepada soalan awal, berapa banyak peralihan sokongan orang Melayu yang boleh kita harapkan dalam PRU14?

“Peralihan 10 peratus sokongan orang elayu bukanlah satu masalah ekoran impak membabitkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan seterusnya, kewujudan HARAPAN yang termasuk BERSATU,” tambahnya.

Katanya, dengan perdana menteri yang tidak popular dalam sejarah, skandal 1MDB, dan impak GST dan kenaikan kos sara hidup, maka undi orang Melayu berkemungkinan beralih daripada BN dalam PRU14.

Peralihan 15 peratus undi orang Melayu terhadap BN, tambahnya, akan menurunkan sokongan Melayu untuk BN kepada kira-kira 50 peratus yang akan meletakkan kedudukan BN pada situasi yang tipis.

“Peralihan 15 peratus atau lebih dalam mana-mana blok pengundian biasanya tidak berlaku tetapi kita hidup dalam keadaan yang luar biasa. Ia berlaku pada tahun 1999 di kalangan pengundi Melayu dan ia berlaku sekali lagi pada tahun 2008 di kalangan pengundi bukan Melayu.

“Sekiranya saya diberitahu pada tahun 2013 bahawa Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membentuk parti politik baru untuk menentang Umno dalam PRU14, sudah tentu saya akan mengatakan anda sewel.

“Namun, apa yang tidak terfikir oleh kita ketika itu, sekarang sudah menjadi satu kenyataan. Begitu jugalah dengan unjuran peralihan undi sebanyak 15 peratus itu, juga bukan sesuatu yang mustahil berlaku,” tambahnya.

Sudah tentu, tegas Ong, jika terdapat 15 peratus peralihan dalam undi Melayu terhadap BN, soalan seterusnya yang perlu ditanyakan ialah berapa banyak peralihan undi akan pergi kepada HARAPAN dan berapa banyak pula yang akan pergi kepada PAS.

– M’kini

.