Adakah perlu perubahan di Terengganu?

KEADAAN cuaca sekarang sememangnya tidak menen­tu dan sukar dijangka. Tidak semena-mena hujan lebat disusuli ribut melanda selepas panas menenangkan atau garing meresahkan yang adakalanya membawa musibah singkat atau kekal kesannya.
Namun, yang pasti cuaca politik tidak banyak berubah malah suhu terus meruap apabila di sana-sini rancak kedengaran bahawa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dijangka diadakan dalam tempoh terdekat.

Walaupun menghampiri mu­sim tengkujuh, suasana politik kian membahang dengan pelbagai spekulasi dicetuskan, malah ada yang kembali mengitar semula apa yang pernah tersebar sebelum ini.

Ini termasuk soal beberapa orang menteri besar akan diundurkan termasuk Ahmad Razif Abdul Rahman di Terengganu.

Rasionalnya perubahan itu dikatakan untuk memastikan jentera terus kukuh dan Barisan Nasional (BN) kekal berkuasa.

Persoalan ini yang kembali diratibkan, menyegarkan semula im­pian mana-mana pihak yang tetap mencari laba politik untuk melonjak diri sendiri atau individu tertentu untuk berpayung dan mencari teduhan.

Ini digambarkan dengan pergeseran antara dua kem Ahmad apabila bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mahukan Ahmad Razif berundur sebelum mengambil langkah susulan untuk terus menggoncang kerajaan.

Sorotan pergolakan itu seakan mempunyai kaitan dengan percaturan politik di peringkat nasional dengan menjadikan Terengganu dan Ahmad Razif sebagai sasaran menjejaskan kepemimpinan Pusat.

Harapan Ahmad yang awalnya melalui usul undi tidak percaya disemarakkan lagi dengan penarikan balik semua darjah kebesaran Ahmad Razif termasuk gelaran Datuk Seri oleh Sultan Terengganu.

Istana cuba diheret dalam per­mainan ini, namun Ahmad Razif masih terus disambung hayat kepemimpinannya dengan kekal menjadi menteri besar serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Tentunya timbul persoalan adakah Ahmad mempunyai kuasa dalam parti atau kerajaan yang mengatasi kuasa istana, Presiden UMNO dan Perdana Menteri untuk mengarahkan menteri besar diturunkan dan digantikan de­ngan calon baharu pilihannya?

Menyorot asasnya, antara alasan yang dibangkitkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak pula dikaitkan dengan kesusahan rakyat selain sekadar melibatkan hal peribadi seperti memadamkan ‘legasi’ beliau.

Adakah dengan menukarkan Ahmad Razif sebelum pilihan raya, keadaan parti akan lebih kukuh ke­rana hanya bersan­darkan kelebihan sa­tu kerusi, setiap seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN boleh menjadi ‘Ahmad Said yang baharu’.

Mereka juga, jika mahu boleh membuat onar dengan menggertak, mengugut dan mengancam atas pelbagai alasan untuk memenuhi setiap hasrat jika kepentingan peribadi terus menjadi keutamaan.

Bukan sahaja Ahmad Razif, sesiapapun pemimpin mewarisi titian yang sangat rapuh untuk terus memacu perjalanan parti dan kerajaan akan terdedah kepada ibu permasalahan ini dalam mengatur gerak.

Maka, alangkah eloknya jika Yang Berhormat Kijal itu yang te­lah mendapat segala kehormatan sebelum ini menunggu sehingga selesai pilihan raya dan bersama-sama dengan semua mengukuhkan barisan sedia ada.

Pergolakan yang marak tahun ini seakan semakin mematangkan Ahmad Razif sebagai pemimpin politik kerana segala ujian yang ditempuh itu dihadapinya dengan tenang bersama penengasan sedia menghadapi segala kemungkinan.

Salah seorang veteran UMNO, Datuk Othman Daud menyifatkan Ahmad Razif sebagai seorang pemimpin yang berwibawa serta mampu membawa masa depan

UMNO serta BN yang lebih baik jika tidak diganggu gugat dari dalam.

Tegas beliau, Menteri Besar Terengganu itu memiliki misi serta visi yang mampu mengangkat negeri ini menjadi sebuah negeri maju dan berkebajikan dalam ruang lingkup budaya Islam dengan tahap kesejahteraan yang tinggi.

Pentadbiran cara baharu dico­rakkan bersama pendirian Ahmad Razif untuk tidak mengambil pendekatan bersengketa, malah dengan pembangkang dan cuba memberi tempat untuk semua menggerakkan dasar kepemimpinannya berteraskan Transformasi Terenganu Baharu.

“Jika semua pihak bersama-sama membantu menteri besar dan tidak banyak berpolitik, semua agenda di bawah gagasan TTB dapat diterjemahkan dan akan memberi impak positif kepada negeri serta rakyat,” ujarnya.

Di Terengganu, isu-isu nasional tidak begitu menjadi faktor kepada pengundi dan Ahmad Razif telah berusaha berhempas pulas menyelesaikan pelbagai permasalahan yang ditinggalkan penyandang terdahulu dan cuba memperbetulkan keadaan.

Dengan sedikit tambahan kekuatan UMNO melalui ke­setiaan ahli dan penyokong sudah cukup memberikan kelebihan ketika perpecahan dalam kalangan pembangkang sudah tidak dapat dibendung di samping terhakisnya ketaksuban ketara penyokong Pas yang kali ini tidak menatap bulan semata-mata.

Pada PRU-13, BN Terengganu hanya menang 17 kerusi daripada 32 kerusi DUN, namun di bawah kepimpinan Ahmad Razif ada kalangan pemerhati politik yakin BN Terengganu mampu menguasai sehingga 25 kerusi.

Daripada jumlah kerusi sedia ada, lapan kerusi DUN boleh dimenangi semula kerana majoriti diperoleh pembangkang tidak sampai 1,000 undi, malah di DUN Teluk Pasu hanya kalah dengan 109 undi.

Selain DUN Teluk Pasu yang BN kalah tipis, DUN Rantau Abang juga begitu iaitu kalah dengan 141 undi, Tepoh (229), Manir (588), Bukit Payung (613), Alor Limbat (645), Bukit Tunggal (652) dan Ladang (924).

BN dilihat mampu menukar cuaca politik agar tidak dilanda bah besar dan mengelak daripada hanyut, malah dapat bangkit secara lebih meyakinkan dalam PRU-14 dengan calon yang benar-benar diterima rakyat setempat dan bukannya sekadar kroni bagi mengukuhkan kedudukan sesiapa sehingga sulit untuk mengangkat pemimpin berwibawa.
– UTUSAN

.