‘ADAKAH PENASIHAT SPRM AKAN SIASAT DZULKIFLI, 1MDB?’

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menggesa empat penasihat kehormat baru SPRM membuktikan kebolehan mereka dengan membuat siasatan ke atas ketua pesuruhjaya badan pencegahan rasuah itu sendiri Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan berkaitan dana pelaburan 1MDB.

Semalam SPRM melantik empat penasihat itu iaitu Canselor Universiti MAHSA Tun Zaki Tun Mohamed Azmi, Pengerusi Indah Water Konsortium Sdn Bhd Tan Sri Abu Zahar Ujang, Pengarah Institut Strategi Kepimpinan Asia (ASLI) Tan Sri Dr Ramon V Navaratnam dan Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye.

Lim mencadangkan agar keempat-empat mereka menjalankan siasatan berkenaan bagi membuktikan mereka mampu menjalankan tugas secara “kredibel dan berkesan” dalam membanteras rasuah, dan bukannya untuk “penyamaran yang dijadikan senjata SPRM untuk mengganggu dan menganiaya pemimpin pembangkang”

“Pertama sekali, sama ada mereka dibenarkan berbincang dan memutuskan sama ada Dzulkifli perlu meletakkan jawatan dalam SPRM.

“Memandangkan kredibiliti dan keberkesanannya dalam menjalankan tugas dijejaskan oleh skandal yang menyebabkan dia tiba-tiba hilang dari umum,” katanya, merujuk dakwaan ke atas Dzulkifli yang dituduh mempunyai hubungan sulit dengan wanita yang sudah berkahwin.

Polis kini sedang menyiasat kes berkenaan. Menurut undang-undang Malaysia, menggoda wanita yang sudah berkahwin dianggap satu kesalahan.

Kedua, menurut anggota parlimen Gelang Patah, sama ada penasihat-penasihat itu akan menggesa SPRM menyiasat 1MDB.

“Adakah empat penasihat kehormat SPRM itu akan menasihatkan SPRM untuk mengadakan siasatan penuh ke atas skandal penggubahan wang haram berbilion dolar melibatkan 1MDB?

“SPRM kelihatan sibuk kebelakangan ini, terutama dalam siasatan rasuah dan tuduhan ke atas pemimpin pembangkang, tapi SPRM mendiamkan diri berkenaan skandal 1MDB,” tambahnya.

Siasatan SPRM yang sedang berlangsung ke atas projek terowong dasar laut setakat ini melibatkan 40 individu dan 20 agensi yang dipanggil beri keterangan. Pemimpin pembangkang mengkritik siasatan itu sebagai “helah pilihan raya” untuk menjatuhkan kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP.

– M’kini

.