ADAKAH KRISIS FGV SATU PERANG PROKSI?

Kemelut antara pegawai tertinggi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Tan Sri Isa Samad dan Datuk Zakaria Arshad menimbulkan persoalan sama ada ‘perang’ antara pengerusi dan ketua pegawai eksekutif (CEO) itu mungkin merupakan satu ‘perang proksi’.

Zakaria pada Selasa lalu diarahkan bercuti oleh lembaga pengarah syarikat bagi membolehkan siasatan berhubung tunggakan bayaran daripada syarikat Safitex untuk produk Delima Oil Products Sdn Bhd, sebuah anak syarikat FGV.

Bagaimanapun, Zakaria dilaporkan enggan berundur sebaliknya mempertahankan dirinya dengan mendakwa beliau tidak melakukan sebarang kesalahan.

Ekoran itu juga, Zakaria kemudian mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan mengemukakan dokumen bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengenai salah urus dalam FGV.

Keberanian Zakaria dalam memperjuangkan isu ini serta kesediaannya bercakap kepada media tentang kemelut berkenaan menimbulkan persoalan kemungkinan beliau mendapat sokongan daripada pihak tertentu.

Persoalan yang paling utama, siapa dibelakang Zakaria? Bagaimana pula dengan Isa? adakah beliau kini bergerak sendirian atau sebaliknya?

Sehubungan itu, Malaysiakini telah mendapatkan komen daripada beberapa individu yang mengikuti perkembangan Felda serta kemelut FGV ini.

Seorang sumber yang tidak mahu namanya disebut merasakan bahawa krisis antara Zakaria dan Isa merupakan ‘pergaduhan’ dalaman yang turut melibatkan penasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, sumber berkenaan belum bersedia untuk mendedahkan perkara ini lebih lanjut.

“Ini pergaduhan dalaman (melibatkan) kem penasihat-penasihat Najib. Zakaria, CEO itu sebelah penasihat Najib dan sekarang sedang melawan geng-geng ahli politik macam Isa.

“Sebab itu Zakaria berani semacam,” kata sumber berkenaan.

Bagaimanapun, bagi Ketua Strategi Biro dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Dr Rais Hussin
Mohamed Ariff, beliau percaya Zakaria merupakan seorang lelaki yang berintegriti.

Ini kerana, menurut Rais, tindakan Zakaria menyerahkan dokumen kepada SPRM merupakan satu tindakan berbeza
sekiranya ia melibatkan ahli korporat lain.

“Pujian harus diberikan kepada Zakaria. Dia tak pergi (SPRM) secara senyap-senyap seperti anggota korporat yang lain kerana dia tahu apa yang berlaku. Bila dia ke SPRM dan menyerahkan dokumen-dokumen itu, dia tahu apa yang dia lakukan,” kata Rais.

‘Mangsa ketiga’

Menurut Rais lagi, Zakaria bukan seorang CEO yang dilantik atas lantikan politik, sebaliknya beliau tahu ‘luar dan dalam’ Felda memandangkan beliau merupakan anak peneroka.

“Beliau dah lihat segalanya yang berlaku dalam beberapa tahun yang lalu. Dia tidak mahu menjadi orang yang akan dipersalahkan atas kesalahan yang bukan dibuat olehnya,” katanya lagi.

Mengulas mengenai isu kelewatan pembayaran Safitex kepada Delima Oil Products – sebab utama yang menjadi punca penggantungan Zakaria – Rais percaya Isa mungkin cuba mencari alasanĀ untuk ‘menyingkirkan’ Zakaria.

Bagi Presiden Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman pula berkata, Zakaria merupakan ‘mangsa’ ketiga
Isa dalam FGV.

Menurut Mazlan, sebelum ini, penyandang CEO FGV, Datuk Zulkifli Abdul Wahab pernah mengalami nasib sama apabila
tidak bersependapat dengan Isa.

Malah, pengganti Zulkifli, Datuk Faizoull Ahmad turut ‘disejuk bekukan’ oleh Isa.

“Sebenarnya Zakaria adalah mangsa ketiga yang terlibat dengan penyingkiran. Sebelum penyenaraian FGV, pengarah FGV masa itu Datuk Zulkifli Wahab. Bila dia ada pandangan berbeza dengan Isa, maka Datuk Zulkifli di singkirkan dengan dihantar ke luar negara sampai pencen.

“Selepas itu Datuk Faizoull, dia juga menjadi mangsa,” dakwa Mazlan.

‘Zakaria Gentleman’

Justeru, Mazlan berpendapat, Zakaria tidak mewakili sesiapa dan berkata, Zakaria kini bergerak sendirian memandangkan beliau seorang yang berpengalaman dalam Felda.

“Mungkin dia di pihak yang benar kerana dia mempunyai integriti. Saya tahu, Isa mempunyai sikap iaitu bila dia tak suka seseorang, dia akan kerjakan (orang berkenaan). Ini telah berlaku pada Datuk Zulkifli dulu.

“Mungkin Zakaria berada di pihak yang benar jadi dia bersedia ke depan. Bagi saya, dia gentleman. Saya salute dia dan harap beliau dapat bertahan atas kebenaran,” katanya lagi.

Bagi bekas menteri, Tan Sri Zainuddin Maidin, beliau mempunyai pendapatnya yang tersendiri berhubung kemelut FGV ketika ini.

Bekas menteri penerangan itu menyelar cara Zakaria digantung kerana menurutnya, siasatan terhadap Zakaria sepatutnya
dijalankan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Bila menggantung Zakaria dan letakkan dia bersalah di mata orang awam, sebab itu dia terus ‘melompat’. Cara mereka bertindak tak betul, letakkan Zakaria dan rakannya sebagai pesalah. Sebab itu dengan segera dia ingin bersihkan namanya.

“(Sepatutnya) siasat dulu, siasat betul-betul. Nak suruh letak jawatan, kemudianlah,” kata Zainuddin.

Krisis profesional dan ahli politik

Zainuddin turut percaya, kemelut yang berlaku ketika ini adalah krisis antara pihak ‘profesional dan ahli politik’.

“Seperti biasa, ahli politik yang akan menang. Ahli politik dari kerajaan akan sentiasa menang,” ujar Zainuddin.

Bagaimanapun, Zainuddin turut berpendapat bahawa isu melibatkan pegawai tertinggi FGV ini juga merupakan perang proksi memandangkan kedua-duanya – Shahrir dan Isa merupakan ‘orang’ Najib.

‘Zakaria sokong Shahrir yang mahukan tiga wakil Felda duduk dalam lembaga pengarah FGV. Jadi siapa yang Shahrir wakili dan bagaimana pula dengan Isa?

“Tidak boleh dinafikan kewujudan Isa dalam FGV kerana politik kerana beliau rakan Najib. Saya percaya Najib kini dalam dilema,” katanya lagi.

“Zakaria menyokong Shahrir mahukan tiga wakil daripada Felda untuk duduk dalam lembaga FGV pengarah. Jadi siapa yang Shahrir mewakili dan bagaimana pula dengan Isa?,” katanya lagi.

Kenapa Idris Jala?

Sementara itu, pelantikan Datuk Seri Idris Jala sebagai orang tengah untuk menyelesaikan isu berkenaan turut menjadi persoalan apabila Mazlan dan Rais berpendapat, terdapat individu lain yang lebih layak bagi mengurus kemelut tersebut.

“Saya pelik kenapa timbul nama Idris Jala. Sepatutnya bekas pengerusi Felda Raja (Muhammad) Alias (Raja Muhammad Ali), bekas pengerusi Felda yang penuh pengalaman dan meninggalkan Felda dengan perkhidmatan yang cemerlang,” kata Mazlan.
Rais turut mempersoalkan pelantikan Idris dengan mendakwa, bekas menteri itu tidak mewakili badan bebas.

“Idris telah menjadi penyokong setia Najib. Sekarang, dua pihak bergaduh dan orang ini (Idris) di bawa masuk untuk dilihat, bagaimana dia boleh bersikap sederhana dan mencari jalan menyelesaikan isu ini dengan cara yang minimum.

“Saya tidak tahu bagaimana lantikan (Idris) ini akan membantu. Siapa tahu, mungkin mereka mahu Idris pula mengambil alih Felda,” kata Rais.

– M’kini

.