ADAKAH KEBENARAN AKAN JADI BERITA PALSU SELEPAS INI?

MASALAH berita palsu menjadi fenomena yang sangat serius sehingga Putrajaya menubuhkan pasukan bertindak khas untuk mengkaji undang-undang bagi membendungnya.

Kerajaan bimbang ia akan “mengancam kestabilan politik, menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara”.

Tentulah, sudah ada undang-undang yang mengawal selia maklumat dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta Akta Komunikasi dan Multimedia.

Tapi apakah berita palsu? Adakah hanya kerajaan yang boleh mentakrifkan berita palsu, bukan saja di Malaysia tetapi juga di Amerika Syarikat (AS)? 

Dan apakah berita yang dianggap palsu oleh pasukan bertindak khas Malaysia bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said?

Menurutnya langkah baharu itu diperlukan untuk menangani masalah penularan berita palsu agar orang ramai lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan, menyebarkan dan berkongsi berita dan juga untuk memastikan keselamatan negara.

Jadi apakah berita yang dianggap berita palsu setakat ini?

1) Apa saja yang melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perdana Menteri Najib Razak semalam berkata, kerugian yang dialami 1MDB boleh dibayar, tidak seperti kerugian dialami Bank Negara dalam skandal forex 30 tahun lalu.

Dakwaan itu tidak dipersetujui Ahli Parlimen Petaling Jaya Tony Pua, yang menuntut Najib menjawab kepada umum, ke mana “unit” bernilai US$940 juta (RM3.65 bilion) itu hilang, memandangkan bank asal yang bertanggungjawab ke atasnya, BSI Bank sudah ditutup.

Sekiranya kesemua wang tersebut dapat dipertanggungjawabkan dalam 1MDB, kenapa 1MDB masih gagal mengeluarkan penyata kewangan yang diaudit sejak Mac 2014, soal Pua.

Katanya, tumpuan Jabatan Kehakiman AS (DoJ) ke atas dana yang hilang itu membuatkan Deloitte Malaysia menarik balik pengesahannya ke atas akaun kewangan 1MDB untuk 2013 dan 2014.

Jadi apakah berita palsu bagi pasukan bertindak khas ini?

2) Perkara yang tidak kena dalam pemindahan hak milik tanah di ibu pejabat Felda di Jalan Semarak.

Berita Harian tampil dengan laporan pada Disember lalu bahawa Felda kehilangan tanah tersebut apabila ia dipindah milik oleh pemaju tanpa sebarang pertukaran wang, dan juga tanpa pengetahuan lembaga pengarah.

Perkara ini mula diketahui pada Januari 2017 dan perdana menteri dimaklumkan sebulan kemudian. Namun ia hanya didedahkan pada Disember atas alasan yang hanya diketahui oleh Felda. Kemudiannya, barulah diketahui pemaju menawarkan RM500 juta untuk 16 bidang tanah tersebut, yang bernilai RM200 juta, atau 10% daripada nilai pembangunan kasar (GDV) antara RM6 bilion hingga RM8 bilion.

Kini Felda memperoleh semula hak milik tanah berkenaan, walaupun urusan perundangan melibatkan pemindahan hak milik belum dijalankan. Adakah hak milik tersebut sebenarnya pernah hilang? Bahagian mana dalam berita itu yang palsu?

3) Ramai rakyat Malaysia menderita, tidak dapat menanggung sara hidup disebabkan kenaikan kos dan gaji yang tidak meningkat.

Adakah benar rakyat terpaksa berbelanja mengikut pendapatan? Menurut Putrajaya, pertumbuhan ekonomi negara dalam suku ketiga 2017 adalah antara yang terpantas di rantau ini.

Menurut Bank Negara Malaysia, ekonomi negara berkembang pada kadar lebih pantas, 6.2% pada suku ketiga 2017 berbanding 4.3% pada tempoh sama 2016.

Namun jualan dalam industri runcit susut 1.1% dalam suku ketiga 2017 disebabkan kuasa membeli rakyat Malaysia yang semakin terhakis, menurut laporan oleh Retail Group Malaysia (RGM).

“Walaupun dengan prestasi ekonomi yang kukuh dalam suku ketiga, majoriti pengguna tidak menerima gaji bersih yang lebih tinggi,” laporan RGM dipetik.

Menurut laporan itu lagi, kenaikan kos sara hidup juga menghakis kuasa membeli pengguna Malaysia.

Dalam tempoh sembilan bulan pertama 2017, kadar pertumbuhan jualan runcit 1.9%, berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Jadi apa yang kita boleh percaya, atau apakah yang boleh pasukan bertindak khas itu katakan? Tahun yang baik atau tidak?

4) Hutang isi rumah dan hutang negara mencapai tahap bahaya.

Menurut statistik kerajaan, hutang isi rumah Malaysia dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merosot kepada 84.6% pada September 2017 dari 88.4% untuk 2016.

Namun, hutang negara berada pada paras RM687.43 bilion dalam tahun kewangan lalu, menurut ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah. Katanya paras hutang negara itu menghalang kerajaan daripada menyediakan kesejahteraan ekonomi yang universal kepada rakyat.

Beliau melihatnya sebagai realiti yang menyedihkan apabila pemimpin negara gagal mengimbangi hutang negara.

Hutang kerajaan persekutuan berada pada paras RM685.1 bilion setakat Jun 2017, menurut Kementerian Kewangan pada November. Jumlah ini meningkat hampir satu perlima dari Mac 2016.

Namun nisbah hutang kepada KDNK pada 50.9% atau 3% lebih rendah dalam tempoh sama, yang mungkin disebabkan peningkatan unjuran hasil.

Menurut kerajaan, hutang tersebut boleh diuruskan walaupun pembayaran hutang berkenaan akan melibatkan peruntukan lebih besar dari dalam belanjawan negara.

Ia dianggarkan 13.1% pada 2018 namun Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming berkata, perbelanjaan luar belanjawan dan pembayaran hutang akan menyebabkan kadar tersebut meningkat lebih tinggi daripada had ditetapkan sebanyak 15%.

Jadi apakah berita palsu di sini? Adakah semuanya baik belaka, atau adakah krisis belanjawan akan berlaku yang akan menjejaskan kemampuan untuk menjaga kebajikan rakyat?

5) Walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) giat menahan penjawat awam yang berbelanja melebihi kemampuan, tidak banyak tindakan dikenakan ke atas ahli politik yang berkuasa dan tersohor dalam negara.

Dalam tempoh dua tahun lalu, kita dalam melihat banyak tajuk berita mengenai penjawat awam ditahan dan pelbagai harta mereka, dari kereta mewah dan wang tunai, dibawa ke mahkamah sebagai bukti rasuah.

Tapi apa yang dilakukan ke atas ahli politik? Golongan yang berkuasa dan tersohor ini bebas menayangkan harta kepada umum walau pun tidak mempunyai pekerjaan profesional untuk membiayai gaya hidup seperti itu.

Mengapakah beberapa ahli politik yang ditahan sudah pun dilepaskan tanpa tindakan lanjut ke atas kes tersebut? Apakah hasil siasatan ke atas kes tanah Felda dan skandal pembelian oleh Mara?

Bagaimana pula dengan masalah urus tadbir dalam 1MDB? Adakah ia tidak tertakluk dalam bidang kuasa SPRM?

Ahli politik dan penjawat awam tertinggi terlibat dalam urus niaga ini namun tiada apa yang dapat diketahui selain tajuk berita dan janji untuk bertindak daripada pihak berkuasa.

Atau, adakah penjawat awam ini patut mendapat layanan berbeza? Adakah berita mengenai ahli politik yang korup hanyalah berita palsu?

– https://www.themalaysianinsight.com

.