ADAKAH JHO LOW BERI AS$1 JUTA KEPADA KEMPEN OBAMA?

JABATAN Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) kini menyiasat penyanyi rap dan pengasas kumpulan hip-hop The Fugee, Pras Michel berhubung dana yang disalurkan dari 1MDB.

Pemenang Anugerah Grammy itu menderma sebanyak AS$1 juta (RM4.1 juta) kepada kempen presiden Barack Obama pada 2012 selepas menerima hadiah bernilai AS$20 juta daripada Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, pembiaya di tengah-tengah skandal 1Malaysia Development Bhd, lapor The Wall Street Journal.

DoJ menyiasat sama ada wujud perjanjian di antara Michel dan Low untuk menyokong usaha melantik semula bekas presiden Obama kerana ia melanggar undang-undang kewangan kempen persekutuan, WSJ dipetik sebagai berkata.

Peguam Michel, Kit Pierson, enggan mengulas mengenai hubungan penyanyi dengan Low, kecuali mengatakan bahawa “terdapat cerita palsu tentang Michel”.

Dalam laporan terkininya, WSJ berkata telah melihat dokumen yang menunjukkan Low membayar AS$20 juta kepada dua syarikat terhad yang dikawal oleh Michel pada 2012.

Michel menderma lebih daripada AS$1.3 juta untuk kempen Obama pada bulan September dan Oktober 2012, termasuk AS$1.225 juta kepada PAC (Political Action Committee) yang dipanggil Black Men Vote, kata WSJ.

Akhbar bisnes AS itu berkata Low, orang kepercayaan Najib Razak, cuba meningkatkan profil perdana menteri di AS pada masa itu.

Baru-baru ini DoJ menjalankan siasatan jenayah ke atas dakwaan penggelapan dan pengubahan wang haram dalam 1MDB selepas menggesa penggantungan saman sivilnya untuk merampas aset bernilai AS$4.5 bilion (RM19 bilion) yang dikatakan dibeli dengan wang yang dicuri dari 1MDB.

Ia turut menamakan Low sebagai tumpuan siasatannya.

WSJ pada 2015 juga mendedahkan bahawa kira-kira AS$700 juta (kira-kira RM2.6 bilion pada masa itu) dana 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib di AmBank antara Januari 2011 dan April 2013.

Bagaimanapun, pada Oktober, kerajaan Malaysia membersihakn Low daripada dakwaan yang dikaitkan dengannya. Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi berkata polis telah menutup siasatan mereka terhadap ahli perniagaan itu.

–┬áhttps://www.themalaysianinsight.com/

.