ADAKAH BADAN AWAM LAIN SERTAI KWSP UNTUK TINGGALKAN FGV?

Tindakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melupuskan pegangannya dalam Felda Global Ventures (FGV) menimbulkan persoalan mengenai pelaburan oleh badan-badan berkanun yang lain.

Dua pemegang saham utama FGV ialah Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Lembaga Tabung Haji.

Pelabur-pelabur dari institusi ini kebanyakannya melabur dalam FGV pada peringkat Tawaran Awam Permulaan.

Presiden Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman memberitahu Malaysiakini bahawa terdapat pelabur institusi lain memiliki kepentingan dalam FGV seperti kerajaan negeri Pahang, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Tetapi setakat ini pemegang saham terbesar adalah Felda sendiri (20 peratus), diikuti oleh anak syarikat Felda, Assets Holding Company Sdn Bhd (13 peratus).

Mazlan berkata berdasarkan pengiraannya, beliau percaya FGV kerugian lebih daripada RM5 bilion.

“Koperasi Permodalan Felda, yang melabur RM800 juta dalam FGV mengalami kerugian berganda.

“Selepas ekuiti 51 peratus dalam Felda Holding diambil alih oleh FGV sebanyak RM2.2 bilion, RM800 juta daripada jumlah wang itu telah dilaburkan sebagai saham dan mereka alami kerugian,” katanya.

Angka yang dianggarkan itu, bagaimanapun, tidak mengambil kira sebarang keuntungan daripada urus niaga saham selama ini.

KWSP potong kerugian

Menurut rekod Bursa Malaysia, KWSP telah diperuntukkan kepentingan 5.06 peratus atau 184,746,000 saham FGV pada 28 Jun 2012.

Berdasarkan angka itu, pelaburan awal berjumlah RM840.5 juta.

Sebulan selepas IPO, saham FGV melonjak pada RM5.55 sesaham.

Pada September tahun yang sama, KWSP telah meningkatkan kepentingannya dalam syarikat itu kepada 6.8 peratus, walaupun harga saham FGV telah mula menurun.

Dalam masa dua tahun, harga saham FGV menjadi separuh daripada asal, berikutan kejatuhan harga komoditi dan kerugian sektor hiliran.

Pada Mac tahun ini, data Reuters bagaimanapun menunjukkan bahawa KWSP hanya memegang kepentingan 3.85 peratus dalam FGV dan telah disenaraikan sebagai pemegang saham terbesar ketujuh.

Pengumuman dana itu pada Selasa lalu menunjukkan bahawa terdapat satu krisis keyakinan terhadap FGV.

Sebelum ini, KWSP telah menyuarakan kebimbangan ke atas keputusan pelaburan FGV, termasuk cadangan untuk mengambil alih syarikat minyak sawit Indonesia High Eagle pada harga yang tinggi.

KWAP sebagai penyelamat?

Walaupun penganalisis pasaran meramalkan bahawa sentimen negatif mungkin sementara, pengkritik FGV menggesa semua pelabur institusi berterus terang mengenai sebarang kerugian yang ditanggung.

Harga saham FGV susut 4.94 peratus atau lapan sen kepada RM1.54 pada tengah hari dengan 6.98 juta saham bertukar tangan.

Apabila pasaran ditutup pada Jumaat, saham FGV terakhir diniagakan pada RM1.53.

KWAP, sementara itu, diperuntukkan 194 juta saham atau kepentingan 5.3 peratus dalam IPO FGV pada jumlah harga RM882.7 juta.

Pegangan KWAP dalam FGV hari ini berada pada 7.308 peratus atau 256,773,600 saham, dengan pengambilalihan terbaru 1 juta saham pada 15 November.

Tabung Haji pula memperoleh sejumlah 283,710,000 saham hampir RM1.3 bilion. Sehingga hari ini, Tabung Haji mengekalkan pegangan terhadap 287,192,600 saham.

Pada bulan Februari tahun ini, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa Tabung Haji mengalami kerugian hampir RM1 bilion kerana melabur dalam FGV dengan anggaran saham sekarang bernilai sekitar RM450 juta.

Secara kolektif, tiga institusi awam telah melabur kira-kira RM1.7 bilion dalam apa yang disebut-sebut sebagai IPO kedua terbesar di dunia pada tahun 2012.

Peneroka Felda galas beban

Selain pelabur institusi, peneroka Felda melabur dalam 800 unit saham FGV setiap satu, dengan kos RM3,640 seorang.

Terdapat spekulasi kebanyakan peneroka mengambil pinjaman bank untuk membeli saham berkenaan, menyebabkan beberapa rintangan disebabkan oleh ketidakpastian yang terlibat.

Selepas penyenaraian, Felda bagaimanapun mengumumkan bahawa kerajaan telah mengambil alih semua pinjaman dengan peruntukan sebanyak RM360.7 juta.

Menurut perjanjian itu, peneroka kini perlu membayar Felda RM50 sebulan bagi faedah pinjaman yang ditolak daripada kutipan bulanan mereka.
Mazlan menegaskan bahawa peneroka masih dibebani dengan  bayaran untuk saham yang telah banyak mengalami penurunan nilai.

“Kami secara konsisten menggesa Felda untuk melupuskan saham peneroka tetapi sebaliknya mereka hanya mengambil alih pinjaman,” katanya.

Walaupun terdapat banyak kebimbangan mengenai syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau dana awam enggan melupuskan pegangan mereka dalam FGV, hanya sedikit yang ditawarkan oleh entiti-entiti ini untuk meredakan kebimbangan.

– M’kini

.