ADAKAH AGAMA, KAUM LEBIH PENTING DARIPADA INTEGRITI PEMIMPIN UNTUK JADI PM?

BARU-BARU ini calon perdana menteri (PM) bagi pihak pembangkang sekiranya menawan Putrajaya merupakan isu hangat dalam dunia politik Malaysia. Pihak kerajaan menyatakan bahawa Lim Kit Siang selaku ketua Parlimen DAP akan diangkat sebagai perdana menteri Malaysia sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya mengambil alih sebagai kerajaan yang baru pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang akan datang.

Namun, saya tidak berminat untuk mengkaji sama ada Lim akan jadi PM ataupun tidak, tetapi saya ingin menghalusi sebab-sebab dan perkara yang lebih penting di belakang isu hangat ini.

Bagi negara demokratik yang matang, calon seseorang ketua negara boleh dibincangkan secara terbuka dan calon-calon tersebut yang bertentangan akan mempunyai persada berdebat di depan rakyat jelata dengan diadakan secara siaran langsung demi menonjolkan polisi masing-masing.

Sebaliknya di negara kita, fenomena ini tidak dapat dilihat oleh sebab demografik politik kita yang tidak pernah ubah dan kerajaan Barisan Nasional telah memerintah sejak Merdeka.

Pertukaran kerajaan tidak pernah muncul dalam minda rakyat Malaysia kecuali belakangan ini di mana pihak pembangkang dikatakan berpeluang menumbangkan kerajaan sedia ada dan menubuhkan kerajaan baru pada pilihan raya yang akan diadakan dalam masa lebih kurang beberapa bulan lagi.

Oleh yang demikian, calon PM pihak pembangkang turut dijadikan isu yang hangat yang dibincangkan dari bibir ke bibir, khususnya dalam kalangan ahli politik. Perdana Menteri Najib Razak pernah mengatakan bahawa DAP akan mengetuai kerajaan yang baru sekiranya mereka mengambil alih sebagai kerajaan baru. Baru-baru ini Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai pula menyatakan bahawa hubungan antara kaum akan menjadi tegang kalau Lim Kit Siang menjadi PM yang baru.

Soalan saya, kenapa Lim Kit Siang tidak boleh menjadi Perdana Menteri sekiranya beliau mempunyai sokongan daripada rakyat Malaysia?

Terlebih dahulu, saya ingin tegaskan bahawa saya bukan peminat Lim Kit Siang dan saya tidak mengharapkan beliau dijadikan PM kerana saya percaya beliau tidak mempunyai sokongan yang mencukupi daripada rakyat Malaysia.

Perkara yang menghairankan saya adalah isu Lim Kit Siang menjadi PM boleh dijadikan alat untuk meraih sokongan serta memancing undi khususnya pengundi Melayu, dan saya anggap perkara ini menyedihkan dan mengecewakan.

Saya kecewa kerana majoriti daripada kita masih melihat setiap isu daripada sudut perkauman dan agama. Kita masih tidak boleh menerima seseorang PM yang bukannya bangsa Melayu dan beragama Islam walaupun negara kita telah 60 tahun Merdeka.

Masyarakat kita berpandangan bahawa tidak kira sama ada calon PM itu berkaliber atapun tidak, amanah ataupun tidak, asalkannya Melayu dan Islam, kita terima.

Saya tidak berhasrat memperkaumkan isu ini, dan saya juga tidak pernah berharap seseorang bukan Melayu menjadi PM. Saya hanya ingin melihat isu ini secara kolektif dan menyeluruh dan bukannya dari sudut perkauman.

Begitu juga dengan calon Ketua Menteri Pulau Pinang, di mana selama ini disandang bangsa Cina. Masyarakat Pulau Pinang juga belum bersedia menerima seseorang KM yang berbangsa bukan Cina.

Justeru, isu Lim Kit Siang menjadi PM ini boleh hangat kerana ia boleh menyebabkan sentimen perkauman dan digunakan untuk menakutkan pengundi Melayu dan Bumiputra, kononya sekiranya Lim Kit Siang menjadi PM, hak-hak Melayu dan Bumiputra tidak dipelihara dan Islam tidak dibela. Yang mengecewakan saya, bukannya perkara ini yang dimainkan oleh ahli-ahli politik, tetapi minda dan fikiran rakyat Malaysia.

Kenapa kita tidak boleh menerima seseorang yang betul-betul berjiwa rakyat, mempunyai iltizam untuk memajukan negara kita dan membela rakyat tanpa mengira agama dan bangsa? Kenapa kita perlu melihat setiap isu dari sudut perkauman dan agama?

Sekali lagi, saya ingin tegaskan bahawa saya tidak berhasrat Lim Kit Siang dijadikan PM kerana berdasarkan kemampuan dan keupayaannya, saya rasa beliau masih tidak mencapai tahap untuk menjadi seorang PM.

Tujuan saya menulis rencana ini adalah untuk mencetuskan persoalan dalam minda kita sama ada agama dan bangsa seseorang itu jauh lebih penting daripada kemampuan, kecekapan dan amanahnya untuk menjadi ketua negara.

–¬†https://www.themalaysianinsight.com

.