‘ADA ORANG DALAM UMNO MAHU LIHAT KHALED TERSUNGKUR’

Anggota Parlimen Kluang Liew Chin Tong berkata kebocoran maklumat berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang turut mengaitkan Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin mungkin ada kaitan dengan pergeseran dalaman Umno.

Liew yang juga Pengerusi DAP Johor, mengulangi pendapat beliau bahawa terdapat percubaan menggantikan Khaled yang dilihat lebih sebagai menteri besar pilihan Sultan Johor berbanding sebagai sekutu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Nasihat saya kepada Khaled agar berhati-hati kerana ada orang di kalangan Umno yang mahu melihatnya tersungkur.

“Lebih baik beliau berterus-terang berkenaan dakwaan terhadapnya agar beliau dapat menyelamatkan sisa kredibiliti yang masih ada.

“Sekiranya Khaled disingkirkan oleh Umno, setidaknya beliau boleh berbangga di hadapan rakyat jika beliau dilihat sebagai pemimpin yang jujur,” kata Liew dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 27 Nov lalu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai Wong Shu Qi dalam perbahasan bajet di Dewan Undangan Negeri (DUN), bertanya sama ada Khaled ada menerima bayaran daripada pemaju untuk menukar status hartanah bumiputera kepada bukan bumiputera.

Wong bertanya soalan itu dengan memetik kenyataan saksi siasatan SPRM yang dimuat naik di laman web yang turut mengaitkan Khaled.

SPRM mengesahkan kenyataan saksi itu dibocorkan dan laporan polis telah dibuat.

Wong telah dipanggil polis untuk memberi keterangan, sementara penulis laman web Milosuam.net Yusof Al-Siddique Suratman yang menyiarkan kenyataan saksi SPRM itu ditahan Jumaat lalu.

Liew mengecam tindakan terhadap Wong dan Yusof serta menyifatkannya sebagai “gangguan”.

“Tindakan terhadap Yusof dan Wong hanyalah taktik membuli bagi menutup krisis utama sebenar dalam Umno Johor.

“Sesiapa yang biasa dengan politik Malaysia akan tahu pendedahan yang mengaitkan Menteri Besar Johor seperti itu hanya boleh datang dari dalam Umno sendiri,” katanya.

Khaled menafikan dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah dan menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah.

– M’kini

.