ADA APA DENGAN PERHIMPUNAN PAS HUJUNG MINGGU INI

SELEPAS beberapa bulan mengirimkan isyarat yang berbeza, PAS akhirnya akan menyatakan pelannya untuk menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan menerajui pakatan pembangkang yang kedua di negara ini.

Pada hujung minggu ini, parti kedua terbesar dari segi keanggotaan itu akan menganjurkan sebuah perhimpunan yang digelar Fastaqim 2.0, sebuah rapat umum yang dihajatkan untuk menyatukan PAS dan sekaligus membuktikan ia sebuah parti politik yang sewajarnya digeruni.

PAS akan mengetuai pakatan yang diberi nama “Gagasan Sejahtera Rakyat” yang akan menyaingi Pakatan Harapan (PH) dan gabunan parti pemerintah, Barisan Nasional (BN).

Tetapi lebih daripada sebuah perhimpunan yang diharapkan oleh PAS akan menarik dukungan 200,000 penyokongnya, ia juga akan mengumumkan penyertaan dua atau tiga tokoh politik nasional ke dalam parti Islam itu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata pengumuman itu adalah kejutan terbesar pada Fastaqim 2.0.

“Siapa tokoh itu tidak sesuai dan wajar saya nyatakan (sekarang). Tunggu malam kemuncak Fastaqim. Insya-Allah dua atau tiga tokoh ini akan hadir membuat perisytiharan menyertai PAS,  ” katanya.

Kenyataan PAS ini mengulangi nada sekitar pengumuman Umno minggu lalu yang mencetuskan desas-desus beberapa wakil rakyat pembangkang akan lompat parti menyokong BN.

Bagaimanapun, pengumuman pada 17 September lalu itu hanyalah kemunculan Muhammad Muhammad Taib yang meninggalkan PKR untuk kembali ke pangkuan Umno.

Penganalisis politik dan pemimpin PH meragui kemampuan PAS dan pakatan politiknya untuk menarik sokongan yang memadai daripada rakyat Malaysia untuk menang lebih daripada 100 kerusi Parlimen bagi membolehkan ia membentuk kerajaan persekutuan.

Pemimpin PAS bagaimanapun percaya perhimpunan Fastaqim, yang bermaksud kebangkitan, di Kuala Terengganu pada hujung minggu ini adalah langkah pertama untuk menunjukkan pandangan mereka itu salah.

Perhimpunan ini juga memberi isyarat sama ada PAS dan Gagasan akan bekerjasama dengan PH untuk mengurangkan pertembungan tiga penjuru, yang diyakini oleh banyak penganalisis selama ini menguntungkan BN.

PAS yakin ia akan dapat menghimpunkan 200,000 penyokongnya untuk berkumpulan di Pantai Teluk Jembal, Kuala Terengganu pada Jumaat dan Sabtu ini.

PAS juga akan melancarkan secara rasmi jentera pilihan rayanya pada perhimpunan itu, kata Ahli Parlimen Temerloh itu.

Parti Islam itu menganjurkan Fastaqim yang pertama pada Oktober 2015 di Kota Bharu, Kelantan, tidak lama selepas 18 pemimpinnya meninggalkan parti itu untuk membentuk Amanah. Ia dihadiri lebih kurang 60,000 orang.

Perhimpunan edisi kedua ini akan disertai oleh anggota komponen Gagasan iaitu Parti Ikatan Malaysia (Ikatan), Berjasa and Parti Cinta Malaysia (PCM).

Buka jalan PRU14

Penganalisis politik Hisomuddin Bakar melihat perhimpunan di Kuala Terengganu itu akan memberi isyarat yang lebih jelas tentang kedudukan PAS menuju PRU14.

“Ada banyak perbincangan dalaman parti yang membayangkan ia masih membuka pintu untuk bekerjasama dengan PH,” katanya.

“Ada cakap-cakap dalam PAS mengatakan pintu untuk bekerjasama dengan (komponen PH) PKR sudah tertutup tetapi pintu itu belum terkunci.”

Sesi permukiman PAS di Perak baru-baru ini mencetuskan desas-desus PAS masih berusaha membentuk kerjasama politik dengan PKR dan Bersatu bagi memastikan pertembungan satu lawan satu dengan BN.

Penganalisis politik Hisomuddin Bakar melihat perhimpunan di Kuala Terengganu pada hujung minggu ini akan memberi isyarat lebih jelas mengenai kedudukan PAS menuju Pilihan Raya Umum ke-14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2017.
Penganalisis politik Hisomuddin Bakar melihat perhimpunan di Kuala Terengganu pada hujung minggu ini akan memberi isyarat lebih jelas mengenai kedudukan PAS menuju Pilihan Raya Umum ke-14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2017.

PH sebaliknya sudah memutuskan menutup semua pintu rundingan dengan PAS dan bersedia merangka strategi berdepan dengan BN dan PAS dalam pilihan raya nanti.

Nasrudin percaya PAS akan bertanding lebih 100 kerusi Parlimen berbanding hanya 66 ketika bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat pada 2013.

“Ya, setakat ini kita tidak muktamadkan lagi angkanya tetapi 100 lebih itu angka yang signifikan dan munasabah (untuk) letak calon di seluruh negara.

“Mungkin 130 atau 140 untuk kita letak calon parti nanti. Kita tengok sejauh mana PAS serius.

“Bagaimana nak pimpin negara jika hanya bertanding 60-70 kerusi,” katanya.

Nasrudin turut mengingatkan peserta perhimpunan untuk bergembira dan menganggap pertemuan di Pantai Teluk Jembal itu sebagai “hari keluarga besar” untuk ahli, penyokong dan simpatisan parti Islam itu.

Sementara itu, penganalisis politik Wong Chin Huat daripada Institut Pulau Pinang berkata PAS tidak mungkin menggunakan perhimpunan hujung minggu ini untuk mengumumkan hasrat bekerjasama secara rasmi dengan Umno kerana ia “bahaya bagi PAS”.

“Ia akan menjauhkan penyokong tegas anti kerajaan dan mengesahkan dakwaan Amanah dan PH selama ini yang PAS sudah dibeli oleh Umno,” katanya.

Wong sebaliknya yakin PAS akan mengumumkan sasaran kerusi yang akan ia tandingi dalam PRU14 iaitu lebih daripada 83 kerusi, atau separuh kerusi yang dipertandingkan di Semenanjung Malaysia.

“Pimpinan parti itu juga akan memberikan penekanan yang umat Islam sedang diasak di dalam negara seperti festival arak dan gay, dan di peringkat antarabangsa, dengan merujuk kepada nasib yang menimpa etnik Rohingya.

“PAS akan menggunakan pentas ini untuk menyeru umat Islam supaya bersatu mempertahankan Islam dan kedudukan orang Islam di Malaysia.”

Wong juga percaya penyokong PAS di akar umbi akan diseru untuk memastikan undi mereka diberikan kepada parti Islam itu, “atau setidak-tidaknya mereka tidak mengundi parti kafir harbi dan parti pemimpin Islam yang bersekutu dengannya.”

Wong menjangkakan PAS akan mengulangi tuduhan kepada DAP dan pemimpin bukan Islam yang membantah pembatalan festival arak di Kuala Lumpur sebaliknya mendakwa mereka berhak menentang pindaan Akta 355 yang dikatakan hanya melibatkan orang Islam.

Skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang membelenggu Perdana Menteri Najib Razak pula akan “ditepis secara tidak langsung,” kata Wong.

“Mereka (PAS) akan mengatakan bukti-buktinya tidak memadai dan kita harus berhati-hati dengan campur tangan asing.”

“Acara dua hari ini juga seolah-olahnya mahu menyaingi perhimpunan Bersih 4. Banyak orang mendakwa Bersih tidak dapat menarik sokongan orang Melayu selepas PAS tiada. Saya berminat hendak lihat berapa ramai orang yang dapat mereka kumpulkan.”

PAS meluaskan wilayah kemenangannya ke Kedah pada PRU 1999 dan kemudian Selangor dan Perak pada 2008. Dalam pertembungan tiga penjuru, beberapa calonnya malah hilang wang pertaruhan seperti yang berlaku pada 20 calonnya dalam PRU 1986.

PAS mungkin ada peluang yang lebih baik di Selangor berbanding di negeri-negeri lain tetapi pendirian tegasnya berhubung penganjuran pesta arak dipercayai akan menyebabkan sebahagian pengundi bukan Melayu menyokong Umno, kata Wong.

Wong sebaliknya percaya pesaing PAS yang utama ialah Bersatu.

“Saya tidak fikir kekuatan sebenar Bersatu ialah di kawasan luar bandar walaupun ia nampaknya bekerja keras di situ. Peranan sebenar Bersatu ialah menggantikan PAS sebagai pelindung kepentingan Melayu dalam PH.”

– https://www.themalaysianinsight.com

.