Ada apa dengan hot dog?

Ada banyak perbezaan pendapat antara Umno dan PAS tetapi dalam isu kekeliruan mengenai nama hot dog mereka bersetuju untuk sealiran.

Mengarut – itu tanggapan umum wakil kedua-dua parti itu ketika ditanya pandangan mereka mengenai pertikaian makanan berkenaan.

Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata status halal atau haram sesuatu makanan bergantung kepada kandungan dan bukan pada nama.

“Hot dog ni orang kenal (maksud perkataan itu) sudah lama,” katanya ditanya kemungkinan istilah berkenaan boleh mengelirukan orang Islam.

Nik Abduh yang juga anggota parlimen Pasir Mas bagaimanapun memberitahu jika Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berpendapat istilah makanan boleh mengelirukan, pihak yang berkenaan perlu merujuk kepada pihak terbabit secara langsung.

“Kewajipan sesebuah syarikat ialah mendapatkan sijil halal, dan jangan bagi nama yang mengelirukan,” katanya di lobi parlimen hari ini.

Nik Abduh diminta mengulas isu sijil halal Jakim yang belum diperolehi rangkaian kedai makan Auntie Anne’s sebelum ini.

Namun Nik Abduh nampaknya mempunyai keyakinan kepada kedai Auntie Anne’s.

“Nanti saya pergi makan kat kedai tu la,” katanya

MKINI

.