ADA AGAMA LAIN MEMBENARKAN BUDAYA MABUK?

SHAH ALAM – Pertubuhan Jalur Tiga Malaysia (Jati) amat mengalukan pembatalan yang telah dibuat oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur  terhadap penganjuran Better Beer Festival 2017 (BBF17) di ibu kota.

Presidennya, Profesor Datuk Dr Mohd Zainul Fithri Osman mempersoalkan tindakan pihak penganjur untuk menganjurkan festival sedemikian.

“Adakah terdapat di dalam kitab ajaran agama anda mabuk itu boleh dan perkara yang baik? Bukankah memabukkan kaum sendiri mempamerkan kebiadapan agama dan budaya?

“Jati ingin menegaskan kemudaratan arak kepada masyarakat iaitu pelbagai kesan negatif boleh berlaku apabila seseorang itu mabuk.

“Contohnya, seperti pemandu yang mabuk mampu mengakibatkan kemalangan jalanraya dan meragut nyawa.

“Arak juga boleh membuatkan seseorang itu hilang pertimbangan, seperti boleh berlaku maksiat seperti jenayah rogol, jenayah rogol beramaia-ramai, ini merupakan satu jenayah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, DBKL  menolak permohonan penganjuran ‘Better Beer Festival 2017’ yang dirancang diadakan pada 6 dan 7 Oktober depan di Solaris Damansara.

Tambah Mohd Zainul lagi, pihaknya menyokong  penuh kenyataan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abdul Aziz, yang telah menolak permohonan penganjuran pesta arak itu kerana ia disifatkan sebagai satu program yang sensitif, sekali gus mampu menimbulkan kemarahan masyarakat.

“Jati menyarankan sekiranya pihak penganjur meneruskan aktiviti berkenaan tanpa kebenaran DBKL maka tindakan undang-undang haruslah diambil.

“Dalam pada itu, kami juga kesal kerana terdapat organisasi yang berwarganegara Malaysia gagal memahami sistem kemajmukan di negara ini dengan hasrat utuk menganjurkan Program Better Beer Festival 2017.

“Justeru, sokongan padu para pemimpin Islam dan ahli NGO-NGO Islam seluruh Negara diperlukan agar perkara ini dapat dibendung sebelum ia memberi kesan kepada masyarakat khasnya sensitiviti umat Islam,” katanya.

– Sinar Harian

.