ABIM MAHU JAWATANKUASA KHAS ISU VASANTHAPIRIYA

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mencadangkan Kementerian Pendidikan mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat isu berkaitan kecurian telefon bimbit guru oleh seorang pelajar yang berakhir dengan kematian.

Naib Presiden Hal Ehwal Wanita ABIM Nor Azura Kamarudin Sohami berkata langkah itu perlu diambil memandangkan tidak wajar sekiranya profesion guru secara keseluruhannya ditohmah ekoran kejadian berkenaan.

“Tidak sewajarnya keseluruhan profesion perguruan ditohmah dengan kejadian seperti ini.

“ABIM percaya bahawa tidak ada mana-mana guru yang sanggup mencederakan anak murid mereka tanpa sebab.

“Namun demikian, tindakan yang merentas sempadan profesionalisme perguruan wajib diberi tindakan segera.

“Guru mesti menjadi tunggak keadilan buat anak murid bahkan, guru seharusnya menjadi tempat keamanan emosi murid,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khamis lalu, M Vasanthapiriya meninggal dunia setelah cuba membunuh diri kerana dituduh mencuri iPhone gurunya.

Selain itu, Nor Azura turut mencadangkan agar pihak kementerian turut memberi fokus tentang isu bebanan guru di sekolah dengan menyediakan pembantu untuk membuat urusan perkeranian dan teknikal dalam.

“(Cadangan lain) memastikan guru kaunseling dan guru disiplin mendapatkan latihan dan kursus yang lebih mesra alaf millennial, agar dapat menjadi jambatan yang baik antara pihak murid dan guru serta pihak ibu bapa dan guru dan menambah dana untuk rejuvinasi bilik kaunseling supaya lebih segar dan ceria untuk dikunjungi murid,” katanya lagi.

– M’kini

.