Abdul Rahman Presiden & CEO baharu PNB 1 Okt ini

KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pelantikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan baharu, Datuk Abdul Rahman Ahmad, 47, berkuat kuasa 1 Oktober ini.
Abdul Rahman yang merupakan bekas CEO Ekuiti Nasional Bhd. (Ekuinas), akan menggantikan Presiden dan CEO Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, 65, berkuat kuasa pada 30 September ini.

Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, Hamad telah berkhidmat dengan Kumpulan PNB untuk 37 tahun dan 18 tahun setengah daripadanya sebagai CEO.

Katanya, beliau telah memainkan peranan penting dalam memastikan pulangan yang berterusan dan kompetitif kepada pemegang unit amanah PNB.

Ujar beliau, sepanjang kepimpinan Hamad, aset di bawah pengurusan PNB meningkat sebanyak enam kali ganda daripada RM38.7 bilion pada Disember 1997 kepada lebih RM260 bilion kini.

“Pada masa yang sama, unit dalam edaran turut meningkat enam kali ganda daripada 30.7 bilion unit kepada lebih 208 bilion unit dengan jumlah akaun berkembang hampir dua kali ganda daripada 6.9 juta akaun pada awal 1998 kepada lebih 12.8 juta akaun.

“PNB telah berjaya menjana pulangan yang konsisten dan kompetitif untuk kesemua unit amanahnya, termasuk Amanah Saham Bumiputera (ASB), Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Wawasan 2020,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selepas persaraan beliau, Hamad akan terus berkhidmat sebagai Pengerusi PNB Development Sdn. Bhd. syarikat pemaju hartanah milik penuh PNB.

Dalam pada itu, pihak Lembaga Pengarah juga mengalu-alukan Abdul Rahman sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang baharu dan yakin bahawa peralihan kepimpinan yang teratur akan terlaksana.

Abdul Rahman mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam bidang audit, korporat dan ekuiti persendirian.

Beliau turut memegang jawatan Pengarah Bukan Eksekutif di Icon Offshore Berhad, serta menjadi Pengarah Bebas Axiata Group Berhad (Axiata), RHB Bank, RHB Investment Bank Bhd., dan DRB Hicom Bhd. – UTUSAN ONLINE
.