ABDUL HADI SELAMAT JALANI PEMBEDAHAN JANTUNG

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selamat menjalani pembedahan penggantian injap di Institut Jantung Negara (IJN), hari ini.

Satu kenyataan oleh Institut Jantung Negara, mengesahkan perkara tersebut.

“Abdul Hadi telah mengalami peningkatan simptom disebabkan oleh injap jantung yang bocor. Keadaan ini telah menjejaskan aktiviti harian beliau, maka doktor menasihatkan agar pembedahan injap jantung tersebut dilakukan.

“Pada masa ini, beliau dirawat di Unit Rawatan Rapi IJN di mana keadaan beliau akan dipantau untuk beberapa hari sebagai sebahagian daripada rutin bagi pembedahan jantung,” katanya menerusi kenyataan tersebut.


Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan dirinya akan memangku tugas-tugas Hadi Awang berikutan beliau menjalani rawatan berhubung masalah jantung yang dihadapi beliau.

Sementara itu, para doktor berasa gembira dengan prosedur yang berlangsung mengikut jangkaan dan setakat ini menunjukkan bahawa Abdul Hadi dalam keadaan stabil.

“48 jam akan datang adalah tempoh yang penting selepas pembedahan dan beliau akan berada di bawah pemerhatian rapi sepasukan doktor dan jururawat di unit rawatan rapi.

“Doktor turut menasihatkan supaya beliau tidak menerima pelawat (luar) kecuali daripada ahli keluarga terdekat,” katanya lagi.

– SH

.