ABDUL HADI DEDAH BEZA RUNDINGAN PAS DAN DAP

MARANG – Selaku Ahli Parlimen Marang hanya satu tujuan saya membawa usul Rang Undang-undang Pindaan Akta 355, dengan satu matlamat iaitu memperkasakan Mahkamah Syariah di negara ini, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau yang juga merupakan presiden Pas berkata, namun usaha beliau pada peringkat awal mendapat tentangan daripada kumpulan mereka yang tidak mahu kepada Islam dan ketuanya juga masih lagi hidup sehingga kini.

“Ketika saya masuk Parlimen pada tahun 1990 parti (Pas) telah menugaskan saya untuk membawa usul persendirian di Parlimen supaya dibincangkan 76A dan 355 sekali gus untuk membolehkan syariat Islam dilaksanakan.
“Bagaimanapun, terdapat banyak halangan untuk membawa usul persendirian itu sehingga pemimpin parti berkenaan juga terpaksa mengadakan rundingan dengan pemimpin Islam dalam BN – Umno, demi Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Perdana Sempena Kejayaan Pembentangan RUU 355 di Dewan Tok Guru di Rusila di sini, malam semalam.

Menurutnya, DAP kemudiannya mempertikaikan langkah Pas kerana berunding dengan Umno sedangkan dalam masa sama parti memerintah Pulau Pinang itu turut berunding dengan kerajaan bagi projek pembangunan negeri berkenaan.

“Dalam perbahasan Parlimen Bajet yang lalu (pun) saya sudah bawa 355 ini. DAP mempertikaikan Pas berunding dengan Umno, saya kata (tanya) tak bolehkah Pas berunding dengan Umno kerana untuk melaksanakan syariat.

“Kerajaan Pulau Pinang boleh berunding untuk bahas pasal jambatan Pulau Pinang, DAP boleh bincang untuk projek Pulau Pinang. Kita tidak boleh nak bincang untuk melaksanakan syariah. Tidak boleh (bincang dengan Umno)?,” soalnya.

Beliau menegaskan, Pas boleh berunding dengan Umno, malah dengan siapa sahaja untuk melaksanakan Islam namun tidak akan berunding dengan pihak luar khususnya kuasa asing untuk campurtangan dalam hal ehwal negara.

“Sedangkan dia berunding dengan Amerika pun dia berunding…juga negara asingpun dia berunding …dengan kedutaan asingpun dia berunding. Berunding dengan negara asing untuk mengubahkan politik Malaysia,

“Kita tidak sampai tangga tu..nak suruh negara asing campurtangan negara kita. Kita berunding dengan Umno sahaja sama-sama Melayu, Islam, itu salah? Dia berunding dengan Amerika tak apa, berunding dengan negara asing tak apa,” katanya.

Beliau dalam ucapannya itu turut menyelar tindakan itu kerana menyifatkan hal politik Malaysia adalah hak orang Malaysia dan tidak perlu untuk melibatkan campurtangan asing.

“Politik Malaysia biar orang Malaysialah yang buat perubahan. Tidak perlu jemput Amerika mari, tak perlu jemput negara asing mari.. Ini saya dedah di sini, kalau ada pemberita siar, biar orang tahu.

“Kita berunding dengan Umno tak boleh dia berunding dengan Amerika boleh, nak jemput Amerika campur tangan dalam negara kita…ini apa ini. Akhirnya 355 bersetuju, apa 355 ini, 355 ini untuk membolehkan Mahkamah Syariah diangkat taraf dan darjat.

“Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa, boleh hukum orang 356. 356…tiga tahun penjara (denda) RM5,000… enam kali sebatan rotan ini bidang kuasa Mahkamah Syariah (yang paling tinggi).

“Sedangkan bidang kuasa di Mahkamah Majistret di daerah boleh denda RM10,000, boleh ‘jail’ lebih banyak pada itu lagi. Mahkamah (Tinggi) Syariah itu menjadi lebih hina daripada kedudukan Mahkamah Majistret di daerah,” katanya.

Sehubungan itu katanya, 355 adalah satu usul supaya dapat mengangkatkan taraf Mahkamah Syariah.

– SH