BERSATU, PARTI PALING TIDAK DISUKAI RAKYAT MALAYSIA…

Kalau dibuat kajian atau undian tentang parti politik yang paling tak disukai rakyat sekarang ini, barangkali jawapannya tidaklah sukar ditemui.

Tidak lain jawapannya ialah Bersatu.

Walaupun Bersatu menjadi kerajaan dan Presidennya, Muhyiddin Yassin adalah Perdana Menteri, keadaan itu nampaknya tidak membantu untuk menaikkan nama parti itu di mata rakyat.

Isu pertama yang menyebabkan ia tidak disukai adalah kerana pengkhianatannya terhadap PH dan kemudian diikuti dengan tindakan mengenepikan Tun Mahathir Mohamad, pengasas Bersatu secara tidak wajar dan tidak demokratik demi untuk memenuhi kerakusan nafsu Muhyiddin menguasai sepenuhnya parti tersebut.

Tindakan itu menyebabkan ramai yang keluar meninggalkan Bersatu, termasuk di Pagoh, kawasan Parlimen Muhyiddin sendiri.

Pendeknya, berbanding sebelum PRU14 di mana Bersatu amat disukai rakyat dan diletakkan harapan tinggi bagi menyelamatkan negara, keadaan itu sudah terbalik sekarang ini.

Sejak berlaku khianat, rata-rata rakyat juga tidak berminat lagi terhadap Bersatu dan ramai yang meramalkan hayatnya hanya sehingga PRU15 saja.

Lebih daripada itu, Bersatu Johor yang diketuai Muhyiddin juga terus terumbang-ambing, tidak stabil dan menjadikan kerajaan negeri itu turut sama dalam keadaan tidak menentu.

Meski Bersatu membentuk kerajaan PN di peringkat pusat yang disokong oleh UMNO, tetapi majoriti ahli dan pemimpin UMNO tidak suka kepada Bersatu.

Antara faktornya ialah disebabkan keegoan Bersatu yang merasakan mereka “big brother” dan ingin UMNO tunduk di bawahnya.

Dalam PRN Sabah misalnya, sudah terbukti Bersatu mahu menunjukkan kekuasaannya terhadap UMNO dengan Muhyiddin, tanpa sebarang perundingan dengan UMNO terlebih dahulu, telah menamakan Hajiji Noor, Pengerusi Bersatu Sabah sebagai calon Ketua Menteri sebelum hari penamaan calon lagi.

Kemudian, setelah menang dan walaupun Bersatu hanya menang 11 kerusi berbanding 14 yang dimenangi UMNO, usaha menobatkan Hajiji sebagai Ketua Menteri telah diperhebatkan lagi sehingga melalui pelbagai kuasa yang ada di sekitar Muhyiddin, perkara itu akhirnya berjaya dilaksanakan dengan jayanya.

Jadinya Hajiji sebagai Ketua Menteri bermakna UMNO yang telah bertapak hampir 30 tahun di Sabah terpaksa tunduk kepada Bersatu, sebuah parti kecil serpihan UMNO yang hanya wujud di negeri itu sejak 2019 lalu.

Tidakkah ini keadaan yang memalukan UMNO?

Selain itu, Bersatu juga sentiasa menuntut jumlah kerusi yang lebih banyak daripada UMNO untuk ditandingi pada PRU15 akan datang semata-mata kerana kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Ini adalah situasi yang sukar diterima oleh UMNO kerana Bersatu hanya menang 13 kerusi Parlimen saja pada PRU14 yang lalu.

Lebih parah lagi, kerusi-kerusi pelompat katak daripada UMNO kepada Bersatu atau yang dikenali Geng Hamzah Zainuddin juga mahu dijadikan sebagai hak mutlak Bersatu dalam PRU akan datang nanti.

Sehingga ini UMNO tidak setuju dengan perkara itu dan mereka tidak berganjak agar semua kerusi tersebut dikembalikan semula kepada UMNO, sesuai dengan pelompat katak itu pun menang dalam PRU14 dulu atas tiket UMNO dan BN.

Perbalahan mengenai kerusi ini terus menjadikan UMNO dan Bersatu sentiasa dalam keadaan dingin dan hubungan keduanya sekarang tidak lebih ibarat isteri pertama dengan isteri kedua.

Dengan keegoan Bersatu mahu bertanding banyak kerusi, sedangkan ahlinya tak seramai mana dan cawangan di setiap bahagian pun ada yang tidak lebih daripada jumlah jari tangan, kebencian UMNO terhadap Bersatu dengan sendirinya tambah membuak-buak.

Bahkan, ini menjadikan 3.5 juta ahli UMNO rata-ratanya semakin menolak dan membenci Bersatu.

Tidak cukup dengan keberadaan Hamzah Zainuddin dalam Bersatu yang merupakan antara faktor parti itu tidak disukai oleh UMNO, masuknya lagi Geng Azmin Ali ke dalam Bersatu telah menambahkan lagi berkembangnya perasaan tersebut, bukan saja di kalangan ahli UMNO, tetapi juga rakyat biasa.

Tambahan lagi dengan kedudukan Azmin sebagai menteri kanan dan dilihat sebagai salah seorang penasihat penting Perdana Menteri bersama Hamzah Zainuddin, Muhyiddin dianggap sentiasa cuba untuk mengenepikan UMNO dalam mengurus perjalanan kerajaan.

Isu “video Haziq” yang dikatakan melibatkan Azmin tidak kurang menjadi penyumbang mengapa UMNO semakin mahu menjauhi Bersatu.

Bagi UMNO, dengan adanya Azmin di dalam Bersatu dan jika bersama dalam PRU akan datang, ia bermakna UMNO terpaksa berkempen dan mempertahan moral pemimpin itu daripada serangan pihak lawan dan ini akan menyukarkannya mendapat sokongan rakyat.

Di dalam UMNO, ramai yang tidak sanggup bersekongkol dengan kemungkaran seperti itu.

Berdasarkan semua keadaan di atas, jalan ke depan bagi Bersatu bukan saja kelam, tetapi juga penuh berliku.

Nyawa politiknya banyak bergantung kepada UMNO dan UMNO pula semakin mahu menjauhinya.

-https://shahbudindotcom.net/

.