MUHYIDDIN DUA KALI DIKUARANTIN, MENTERI POSITIF COVID-19, APAKAH INI ALAMAT TIDAK BAIK BUAT PN?

Bukan sesuatu yang biasa bila seseorang itu kena kuarantin sebanyak dua kali, apa lagi kalau ia melibatkan Perdana Menteri.

Rasanya, sepanjang pandemik Covid-19 ini melanda dunia, baik di penjuru negara mana sekali pun, tidak ada sesiapa pernah dikuarantin sebanyak dua kali.

Tetapi itulah yang ditakdirkan berlaku di negara kita dan ia pula terjadi kepada seorang Perdana Menteri.

Apakah agaknya yang Tuhan mahu tunjukkan daripada perkara itu?

Sebelum ini, Muhyiddin Yassin sering dipuji kerana beliau dikatakan seorang Perdana Menteri yang pandai membaca doa.

Untuk itu – tak tahulah sama ada diberi arahan atau tidak – saluran tv kerajaan telah mengulangsiar bacaan doa Muhyiddin itu berpuluh-puluh kali sehari sehingga akhirnya ramai yang jadi meluat dan jelak dengannya.

Berikutan terlalu kerap diulang-ulang, ada yang sehingga mengalih siaran atau menutup tv setiap kali bacaan doa itu muncul.

Tetapi mereka berbuat begitu bukanlah kerana meluat dan jelak dengan bacaan doa itu, cuma bagi rakyat yang waras, kerja Perdana Menteri bukanlah membaca doa.

Untuk itu, tiada keperluan mendengar doa yang sama daripada seorang Perdana Menteri sampai berpuluh-puluh kali dalam sehari.

Kerja asas Perdana Menteri ialah menolong, menyelesaikan masalah dan memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Kalau kerana pandai membaca doa mahu dijadikan ukuran hebat atau layaknya seorang Perdana Menteri, lebih baik Hadi Awang, Nik Abduh atau Mokhtar Senik saja menggalas tugas tersebut.

Sudah tentu bacaan doa mereka lebih sedap, lebih lancar dan lebih syahdu berbanding Muhyiddin.

Namun, adakah Hadi Awang, Nik Abduh atau Mokhtar Senik layak jadi Perdana Menteri?

Kali pertama Perdana Menteri dikuarantin ialah apabila seorang pegawai tinggi kerajaan yang positif Covid-19 hadir dalam mesyuarat yang dipengerusikannya pada Mei lalu.

Ketika itu beliau dikuarantin selama 14 hari.

Semalam pula, Muhyiddin sekali lagi dikuarantin selama 14 hari apabila mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pada 3 Oktober lalu yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zulkifli Al-Bakri yang kini disahkan positif Covid-19.

Walaupun ditimpa penyakit adalah takdir Tuhan dan Muhyiddin dikuarantin juga suatu takdir Tuhan, tetapi dengan berlaku sebanyak dua kali seolah-olah ada yang tidak kena dengan kepimpinan dan kerajaan melalui pengkhianatan yang diterajuinya kini.

Lebih buruk, di kala seruan demi seruan agar rakyat menjaga kesihatan dan mematuhi SOP untuk mencegah penularan Covid-19, yang ditakdirkan akhirnya seorang menteri sendiri disahkan positif.

Berdasarkan pergaulan Zulkifli yang banyak ke sana dan ke sini, bukan saja ramai terkesan dengan wabak ini, malah tidak mustahil ada beberapa menteri lain juga bakal positif dibuatnya.

Boleh jadi semua ini merupakan suatu alamat atau petunjuk Tuhan yang mahu Muhyiddin berfikir dan tidak ragu-ragu bertindak demi kebaikan.

Ini kerana, dua kali dikuarantin adalah sesuatu yang luar biasa dan ia pula tidak berlaku di negara lain atau kepada pemimpin-pemimpin lain, baik di negara Islam atau negara bukan Islam.

Sementara kita semua harus terus berdoa kepada Tuhan memohon perlindungan daripada wabak ini, sebaiknya secara diam-diam dan bukan dengan menunjuk-nunjuk, Muhyiddin khususnya harus mengambil banyak iktibar daripada peristiwa ini.

Ia bukan saja mengenai kepimpinan dan status kerajaan yang dipimpinnya, tetapi juga daripada aspek kecuaian, termasuk kemungkinan adanya perangai-perangai cakap tak serupa bikin yang sedang berleluasa dalam pentadbirannya sekarang.

Selain itu, apa yang sukar dinafikan juga ialah begitu banyak berlaku perkara-perkara pelik dan janggal dalam kerajaan sekarang, meskipun yang didendangkan ialah kerajaan ini merupakan kerajaan Melayu/Islam yang seolah-olah direstui Tuhan kewujudannya.

Sebelum lebih banyak musibah melanda, terutama jika Muhyiddin sendiri merasakan beliau tidak mampu lagi menangani semua yang berlaku, termasuk dirinya yang tidak berapa sihat akibat kepungan kanser dalam badannya, tempoh kuarantin kali kedua ini sebaiknya dipergunakan untuk memikirkan lebih tentang negara berbanding diri sendiri.

Kalau berundur dan meletak jawatan itu lebih baik, tambahan lagi sokongan sebahagian Ahli-Ahli Parlimen UMNO terhadapnya sudah tiada lagi, eloklah berhenti saja sebelum takdir datang lagi untuk dikuarantin buat kali yang ketiganya selepas ini.

-https://shahbudindotcom.net/

.