MUHYIDDIN KINI TIADA ALASAN LAGI TIDAK BERI JAWATAN TPM KEPADA ZAHID HAMIDI

Pengerusi Bersatu Sabah, Hajiji Noor akhirnya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah ke-16 di Istana Negeri, Kota Kinabalu pagi ini.

Selain Hajiji, turut mengangkat sumpah di hadapan TYT Sabah ialah tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Jeffrey Kitingan dan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Joachim Gunsalam.

Apa yang menarik di sini tentunya tentang perlantikan Bung Mokhtar bagi jawatan nombor dua kerajaan negeri kerana beliau masih lagi berdepan perbicaraan kes rasuah di mahkamah.

Sebelum ini beliau dinamakan sebagai calon Ketua Menteri oleh BN, tetapi isu yang sering dimainkan untuk menidakkan perlantikannya adalah kerana kes mahkamahnya masih lagi belum selesai.

Dengan itu, beliau didakwa tidak layak untuk menjadi Ketua Menteri Sabah sehinggalah mahkamah membuat keputusan tidak bersalah terhadap kesnya.

Apa lagi, motto pentadbiran Muhyiddin Yassin ialah mengutamakan kebersihan seseorang calon yang mahu dilantik mengisi jawatan dalam kerajaan sehingga perlu melepasi tapisan SRM dan PDRM terlebih dahulu.

Bermakna, jika yang tidak bersih di sisi SPRM dan PDRM pun tidak boleh dilantik, tentulah seseorang yang telah didakwa di mahkamah dan masih dalam perbicaraan tidak boleh sama sekali diberi sebarang jawatan dalam kerajaan.

Perlantikan itu akan menjadikan mereka yang ada jawatan itu terpaksa terus pergi ke mahkamah untuk menghadiri perbicaraan bersama jawatan yang sedang disandang.

Mahu tidak mahu, keadaan itu pastinya memberi gambaran buruk kepada kerajaan di mata rakyat, dunia dan juga kepada penghuni langit.

Tetapi, dengan perlantikan Bung Mokhtar sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah, pendirian Muhyiddin dan kerajaan PN nampaknya sudah berubah dan tidak kisah lagi dengan kes mahkamah yang sedang dihadapi oleh seseorang itu.

Dengan ini kita akan menyaksikan kehadiran Bung Mokhtar di mahkamah selepas ini adalah sebagai Timbalan Ketua Menteri.

Hebat Abah Muhyiddin….

Maka, bersekali dengan perkembangan terbaru ini, Muhyiddin sudah tidak ada alasan lagi untuk tidak melantik Presiden UMNO, Zahid Hamidi yang juga ada kes mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Dengan UMNO mempunyai jumlah Ahli Parlimen teramai dalam PN dan kedudukan Zahid Hamidi sendiri sebagai ketua parti, beliau tidak boleh lagi dinafikan untuk mengisi jawatan nombor dua dalam kerajaan yang masih kosong itu dan kedudukannya yang ada kes mahkamah hendaklah ditolak ke tepi.

Alasan sebelum ini bahawa Zahid Hamidi tidak boleh diberi jawatan itu kerana ada kes mahkamah sedang dihadapinya tidak terpakai lagi dengan terlantiknya Bung Mokhtar sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Berbanding Azmin Ali yang ke sana ke sini sekarang berlagak seolah-olah beliau pemegang jawatan nombor dua dalam kerajaan selepas Muhyiddin, lebih munasabah ia diberikan kepada Zahid Hamidi.

Dalam hal ini, Muhyiddin mesti menunjukkan keikhlasannya dan tidak harus berlengah lagi untuk memberi jawatan tersebut kepada Zahid Hamidi.

Jika tidak juga berbuat demikian, bermakna Muhyiddin tidak betul-betul ikhlas terhadap UMNO dan hanya ingin mempergunakan parti itu sebagai pelapik untuk melapik kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Lagi pun, alang-alang Timbalan Ketua Menteri pergi ke mahkamah untuk berdepan kes rasuah, tentulah lebih membahagiakan rakyat Malaysia jika selepas ini seorang Timbalan Perdana Menteri juga terpaksa turun naik mahkamah untuk menyelesaikan kesnya.

Atau, adakah perlantikan Bung Mokhtar ini suatu isyarat bahawa kesnya akan digugurkan dan selepas itu kes Zahid Hamidi pun akan digugurkan sama?

-https://shahbudindotcom.net/

.