AHLAN WASALAN KEPADA ZAINAL AZMAN KE MOA

AGAK terlewat sedikit tetapi masih belum terlanjur untuk ucap selamat datang ahlan wasalan kepada Zainal Azman Abu Seman (foto) yang menjadi Ketua Setiausaha (KSU) baru di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Kemasukan atau penempatan Zainal ke situ selepas bekas KSU Sallehhuddin Md Hasan di”sayornara”kan dari MOA dengan sedikit kontroversi.

Bekas KSU itu adalah KSU era kedua Dr Mahathir jadi PM yang paling menonjol dan popular berbanding dengan KSU lain. Di awal penampilannya dahulu saya pernah mengesani hal ini bilamana kerap melihat beliau tampil bersama menteri tidak kira di darat dan di lautan, dalam negeri waima di luar negeri dalam hampir semua acara dihostkan menteri.

Jadi agak ironis apabila tiba-tiba Sallehhuddin tidak dapat bertahan lama di kementerian yang menjaga nasib dan masa depan golongan petani, nelayan dan peladang itu. Apa yang sudah berlaku biarkanlah; asal kapas menjadi kain, dari kain dibuat baju… pergilah ke lain buatlah tekad baru.
Sikap begitu tidak baik dan bukan sikap berjiwa negara. Disamping menjenguk jauh ke depan dengan pancaran idea-idea baru sepatutnya apa yang telah berlaku dan ditinggalkan di MOA tidak diabaikan begitu sahaja. Mana-mana yang baik diteruskan sementara kelemahan perlu ditangani kerana ia melibatkan wang rakyat. Setiap sen wang rakyat perlu diselamatkan. Wang dan harta rakyat yang sudah keras menjadi batu dan besi pun sepatutnya ada daya dan inisiatif untuk dileburkan semula biar ia bermanfaat.MOA perlu terus ke depan walaupun siapa menjadi menteri dan KSUnya. Keutamannya kepada rakyat bukan kepada sesiapa individu yang ditempatkan disitu. Bersama Zainal Azman, MOA harus bergerak ke depan dengan penuh progresif dan optimistik lagi.

Dan Zainal Azman yang dipindah dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Perak, sebelum itu diviralkan di pool kan, perlulah melakukan sesuatu dan meletakkan “pancang jaya” terbaik di MOA.

Kehadiranya disitu berganding bahu dengan Salahuddin Ayub biarlah membawa erti kepada rakyat dan kerajaan dengan lebih berkesan lagi. Salahuddin pula selepas ini tidak perlu “berwaspada” dan rimas-rimasan lagi.

Bila bercakap fasal MOA dan kelangsungannya untuk membantu petani, nelayan dan peladang, apa yang harus dan hendak Zainal Azman lakukan mungkin sudah terpeta dalam kepalanya. Beliau turun tangga untuk ke MOA tentu dengan bacaan Basmalah yang membawa misi lebih hebat dan penuh iltizam demi rakyat lagi. Kejayaan dan kecemerlangannya semasa di Perak mungkin akan diulangi di MOA.

Setelah lebih seminggu beliau berada disitu apabila selesai sesi suaikenal diadakan dengan menteri dan para pegawai, tentu beliau telah merangka pelan tindakan dan memikirkan apa yang hendak dilakukan. Pastinya beliau juga faham kesediaan warga MOA untuk menerimanya kerana mereka mahu melihat sesuatu yang baru secara drastik serta melenyapkan apa-apa moment buruk dan pahit di MOA sebelum ini.

Kita yakin sebagai seorang pegawai awam yang berdedikasi, Zainal Azman mampu melakukannya dan tidak mengambil masa panjang untuk menyesuaikan diri di MOA.

Signifikan awal.
Bercakap mengenai kementerian ini, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh KSU baru itu. Subjek yang beliau kena tengok mungkin tidak mustahak tetapi ia cukup menjadi signifikan awal buatnya. Apa yang dimaksudnya ialah melihat dan menyemak beberapa projek dibawah MOA yang terbengkalai ataupun berkeadaan hidup segan mati tidak mahu.

Sebelum ini banyak projek dibawah MOA yang menelan belanja berbillion ringgit menjadi gajah putih atau ia dirancang bukan sangat kerana kepentingan rakyat tetapi lebih kepada kepentingan pihak tertentu yang merancang projek-projek itu dengan tujuan untuk menjarah peruntukan itu.

Ada projek dibangunkan tanpa kemunasabahan langsung seolah-olah ia pakai buat tanpa perancangan dan kajian terperinci. Ini berlaku kerana ada persubahatan dengan menteri dan pegawai yang terbabit.

Hal ini di sepanjang 18 bulan lalu seakan dilupakan. Mungkin kerana menteri sendiri dan KSU ketika itu ghairah untuk menjana dan merangka projek-projek baru bagi dijadikan trade mark mereka. Biasalah apa-apa yang dilakukan atau ditinggalkan oleh menteri dan KSU sebelum ini ia menjadi sejarah. Perkara ini seakan menjadi lumrah dan tradisi dalam pentadbiran negara “belalang kencung” ini.

Sehubungan itu apa dimaksudkan di sini ialah mengenai beberapa projek mega yang dirancang oleh MOA sebelum ini tetapi tidak diteruskan atau lebih malangnya ia terbengkalai begitu sahaja tanpa ada pelan pemulihan. Gara-gara itu menyebabkan berbillion wang negara yang disalurkan melalui MOA untuk kemajuan petani, penternak dan peladang membazir begitu sahaja tanpa memberi sebarang manfaat.

Bersempena dengan kemasukan KSU yang baru itu molek kalau beliau memberi sedikit masa untuk tumpu dan menyemak mengenai beberapa status projek MOA yang terbiar dan dianggap merugikan negara tetapi masih boleh dibaik pulih. Untuk ini Zainal Azman boleh meminta ketua-ketua jabatan dan agensi dalam MOA menyenaraikan mana-mana projek terbengkalai di bawah MOA. Hal ini mungkin tidak terbuat semasa KSU yang sempat berkhidmat tidak sampai setengah tahun itu.

Sebenarnya banyak projek MOA yang terbengkalai dan membazir. Di bawah ini saya sebut beberapa projek dibawah Perikanan sahaja.

1. Hatcheri ikan laut nasional Rompin dengan nilai projek RM15 juta. Status tinggal terus.
2. Projek ternakan udang galah di Kedaik Rompin nilai RM15 juta. Status tinggal terus.
3. Projek ternakan ikan dalam sangkar di Tasik Kenyir untuk orang miskin bernilai RM50 juta. Status hidup segan mati tidak mahu.
4. Projek ternakan ikan Fish Protech LKIM. Teknologi projek ini dari Australia dan telah dipasang di lima lokasi, Sepang, Tok Bali, Pekan, Pagoh dan Naka di Kedah. Anggaran kos RM50 juta. Status terbiar.

Itu adalah contoh projek terbiar di bawah Perikanan, dan masih banyak lagi projek senasib dengan contoh itu yang dikendalikan oleh MOA baik dibawah Pertanian dan Penternakan.

Setengah projek ini yang masih boleh dibaik pulihkan atau diselamat perlu dilakukan sesuatu. KSU baru kena ambil inisiatf untuk membuat semakan dan pembaikpulihkan. Jangan tertumpu kepada projek-projek baru dalam negara berkemelut dengan masalah kewangan ini.

Sekiranya perlu mungkin satu jawatankuasa (pasukan penyelamat) perlu dibentuk dan satu makensime dicari untuk membaik-pulih atau menyelamat projek terbengkalai ini.

Selain daripada menyemak status projek sakit di bawah MOA, adalah baik juga kalau KSU baru ini turut menyemak fungsi dan keberkesanan agensi-agensi dibawah MOA serta penjawatnya. Mana-mana pengerusi agensi atau ketua jabatan yang tidak menunjukkan komitmen tinggi kepada kerja masing-masing, gagal melaksanakan tugas elok mereka direhatkan atau ditukar ganti. Tidak ada gunanya memelihara beruk yang tidak pandai pulas nyiur.

Penilaian ke atas pengisian jawatan pengerusi atau ketua-ketua jabatan atau CEO perlulah dari kalangan mereka yang berkelayakan serta mempunyai iltizam tinggi untuk membangun MOA. Biarlah mereka kalau pun belum cukup kepakaran tetapi minat dengan bidang agriculture. Orang politik atau pun mana-mana individu yang dibawa menerusi jambatan politik mungkin perlu diuji, disemak dan ditilek sejauh mana kebolehan mereka. KSU kena prihatin perkara ini.

Khabarnya dengan pertukaran KSU berlaku beberapa kekosongan jawatan di agensi dibawah MOA yang mana sebelum ini ianya diketuai oleh KSU. Contohnya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), yang dipengerusikan sendiri oleh KSU sebelum ini.

Sekiranya pengerusi MARDI hendak diubah agar ia tidak dipengerusikan oleh KSU secara automatik seperti sebelum ini, pengisiannya perlulah dibuat dengan tepat. KSU bersama menteri harus memantau dan mengenal pasti watak berkenaan. Seboleh-bolehnya biarkan mereka yang arif mengenai bidang itu, atau pun kalau kebetulan mereka ada pengetahuan mengenai bidang itu tetapi biarlah seorang yang mempunyai integriti.

Mereka yang ada masalah, atau pun tinggal tahi dalam mana-mana agensi di bawah MOA sebelum ini tidak wajar untuk dinilai memegang jawatan itu. Bagi mengelakkan pisang berbuah dua kali, maka KSU bersama menteri perlu membuat semakan dan “ujikaji” mendalam ke atas setiap calon untuk ditempatkan di situ. Jangan sekadar melihat CV atau mendengar jaminan pihak tertentu apa lagi kerana dibawa oleh rakan politik.

Kita yakin ramai yang berminat untuk tidur dalam lubuk emas, bernama MARDI itu yang semuanya berjanji demi rakyat dan negara.

MARDI adalah sebuah badan penyelidikan dan kajian yang diberikan peruntukan dan geran besar, dimana skop atau daerah kewujudannya berada di hampir seluruh negara.

Justeru ia perlu diawasi sebaik mungkin agar peruntukan besar itu tidak disia-siakan dan dijarah begitu sahaja oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu juga untuk menjamin mereka dilantik mengetuai agensi atau jabatan di MOA berfungsi dengan baik dan membawa kemakmuran kepada rakyat, wajar juga kalau MOA sedia mengadakan sistem tukar ganti mereka dalam tempoh tertentu. Sekali lagi disebutkan tidak ada guna memelihara beruk yang tidak pandai menurunkan kelapa.

Kepada Zainal Azman sekali lagi diucapkan ahlan wasalan dan sepadulah bersama Salahuddin Ayub.

– http://msomelayu.blogspot.com/

.