PROVOKASI PENAMPILAN AZMIN SENDIRI LEBIH JADI PUNCA PERWAKILAN KONGRES MELUAT DENGANNYA

Dalam sidang medianya selepas keluar dewan kongres semalam dan kemudian diikuti ratusan penyokongnya yang turut berbuat demikian, Azmin Ali menuduh Anwar Ibrahim mungkir janji berhubung ucapan-ucapan perwakilan.

Beliau mengungkit mengenai beberapa persetujuan yang didakwa dicapai dalam pertemuan dengan Anwar minggu lalu yang antaranya,

• Perbahasan hanya akan tumpu kepada isu-isu dasar serta pengukuhan PKR.

• Komposisi pembahas mewakili semua pihak, dengan jaminan membawa agenda parti.

• Pembahas tidak dibenarkan menyinggung, menyindir dan menyerang mana-mana pihak.

Menurut Timbalan Presiden PKR itu lagi, Anwar telah memberi jaminan bahawa pembahas akan mematuhi perimeter dan garis yang dipersetujui itu.

Beliau seterusnya menuduh ucapan Anwar berkaitan Si Kitul dan Raja Mendeliar ketika perasmian adalah berupa sindiran yang membuka ruang kepada para perwakilan menyerang dan menghentamnya.

Azmin juga berkata, beliau sebaliknya sudah melaksanakan persetujuan itu dan ia boleh dilihat pada ucapan perasmian Kongres Pemuda dan Wanita yang menumpukan kepada penyatuan anggota dan peranan PKR dalam kerajaan.

Dalam hal ini, jika diperhati bukannya Anwar yang mungkir janji, tetapi Azmin sendiri yang memulakan provokasi yang menyebabkan perwakilan jadi meluat dengannya.

Ketika perasmian Kongres Pemuda dan Wanita, beliau masuk ke dewan dengan menaiki beca bersama Zuraidah Kamaruddin dan Tian Chua dengan diiringi lagu Merisik Khabar yang mana acara itu dilihat terlalu gah dan berlebih-lebihan serta tidak sesuai bagi sebuah pemimpin dan parti reformasi.

Azmin, melalui acara perasmian itu ternampak ingin menunjuk-nunjuk seolah-olah beliau telah menang menewaskan Anwar apabila berjaya menuntut dikembalikan tradisi merasmikan Kongres Pemuda dan Wanita serta menggambarkan dirinya seolah-olah pemimpin paling besar dalam PKR.

Memang ketika ucapan perasmiannya beliau bercakap berkaitan penyatuan dan peranan parti dalam kerajaan, tetapi kenapa mesti kehadirannya disambut secara besar-besaran?

Lebih daripada itu, kenapa tidak dibawa Ketua Pemuda dan Ketua Wanita menaiki beca bersamanya?

Kenapa mesti Zuraidah dan Tian Chua duduk di sebelahnya?

Kemudian, ketika hadir ke Kongres Nasional PKR pagi semalam, Azmin sekali lagi cuba menunjuk-nunjuk dan mempamerkan dirinya seorang pemimpin besar apabila ketibaannya diiringi dengan pasukan pemuzik dan gendang yang dilihat agak keterlaluan.

Sementara Anwar dan Dr. Wan Azizah Wan Ismail pun masuk ke dewan dalam keadaan biasa saja, untuk apa Azmin hadir dengan diiringi bunyi bising paluan gendang seperti itu?

Apakah pemimpin reformasi begitu sifat dan kelakuannya?

Mahu tidak mahu, perlakuan Azmin itu sendiri adalah suatu bentuk provokasi yang merangsang orang lain bertindak balas terhadapnya kerana terlalu meluat dengan karenah mengada-ngadanya.

Sudahlah tidak hadir mesyuarat selama setahun, tiba-tiba cuba menunjuk kehadiran dalam kongres seolah-olah “superstar”, maka siapa yang tidak menyampah jadinya?

Bermakna, bukan ucapan Anwar yang menyentuh tentang Si Kitul dan Raja Mendeliar itu yang menyebabkan perwakilan menyerang Azmin, tetapi lebih disebabkan provokasi yang ditimbulkannya sendiri.

Seterusnya, apabila Azmin keluar dewan bersama penyokongnya, ia lagilah menyebabkan perwakilan yang berucap tambah meluat dan menyampah kepadanya.

Ehhh….kena tegur sikit dah nak merajuk?

Bukankah kongres adalah medan untuk perwakilan yang mewakili suara akar umbi untuk menegur dan memperbaiki salah pemimpin atasan?

Bukan saja Azmin, malah Anwar sendiri pun banyak ditegur oleh perwakilan.

Lantaran itulah, setelah Azmin tidak lagi berada dalam dewan, mood perwakilan majoritinya lebih ke arah mahukannya disingkir dan melabelnya sebagai pengkhianat parti.

Di hotel lain kemudiannya, Azmin mengadakan sidang media mengecam dan mengkritik Anwar sebagai Presiden PKR yang didakwanya tidak menepati janji.

Beliau turut mengumumkan akan mengadakan jamuan makan malam di KL malam ini bersama para penyokongnya, walaupun ketika PKR mengadakan jamuan Makan Malam 20 Tahun Reformasi malam semalam, beliau tidak menghadirinya.

Di hari terakhir kongres hari ini, sebagaimana dibayangkannya semalam, Azmin hampir pasti tidak hadir dan akan meneruskan pemboikotannya.

Ertinya, Azmin mahu bebas mengkritik sesiapa saja, termasuk Anwar atau melakukan apa juga dalam PKR ini, walaupun dirinya sendiri tiada ketahanan dikritik dan diserang oleh perwakilan.

Pemimpin seperti ini, elok masih ada dalam PKR atau lebih baik dipecat saja?

– https://shahbudindotcom.net/

.