AZMIN TERLALU MANJA DAN MENGADA-NGADA….

Kalau dalam Kongres AMK semalam, kumpulan pro Azmin Ali yang diketuai oleh Hilman Idham telah meninggalkan dewan pada sebelah petang kononnya kerana faktor keselamatan, hari ini Timbalan Presiden PKR itu sendiri mengetuai penyokongnya keluar dewan pada sebelah petang Kongres Nasional Keadilan atas alasan tidak tahan disindir dan dihentam.

Beliau bersama penyokong meninggalkan dewan kongres kira-kira jam 3.00 petang tadi setelah beberapa perwakilan menyampaikan ucapan menyerang dan menyindirnya sebagai pengkhianat parti.

Lantaran itu, Azmin menyalahkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim kerana membawa cerita Si Kitul dan Raja Mendaliar dalam ucapan dasar pagi tadi yang dianggapnya telah membuka laluan kepada serangan-serangan itu.

Kenapa Azmin tiba-tiba mudah terasa hati dengan kenyataan sejarah tentang Si Kitul dan Raja Mendaliar?

Apakah Azmin sekarang ini merasakan watak Si Kitul dan Raja Mendaliar itu menyerupainya, lalu begitu mudah dirinya terasa hati?

Jika begitu, bermakna apa yang disebut Anwar itu adalah suatu kebenaran dan Azmin, sebagai pemimpin reformasi, tidak seharusnya marah kepada kebenaran.

Sebaliknya, jika sudah ditunjukkan kebenaran dan terasa dirinya macam Si Kitul dan Raja Mendaliar, apakah Azmin mahu terus berwatak jahat seperti itu dalam melalui hari-hari seterusnya dalam kehidupannya?

Mengapa tidak memohon maaf saja kepada Anwar dan mengakui kesalahannya?

Dalam hal ini, betullah juga seperti kata Anwar bahawa jika Azmin terasa hati, itu adalah masalah dia, bukan masalahnya kerana yang disebutnya adalah kenyataan sejarah yang dipetik daripada naskhah Sulatus Salatin.

Sebagai pemimpin, lebih-lebih lagi berjawatan nombor dua dalam PKR, Azmin tidak harus menjadikan dirinya terlalu manja dan mengada-ngada dengan tidak boleh dikata sedikit pun oleh orang lain.

Bukankah tegur menegur adalah amalan biasa dalam kehidupan?

Lagi pun, jika beliau tidak ponteng mesyuarat, tidak sesuka hati menyanggah Presiden dan tidak membantah melalui media banyak keputusan-keputusan parti, tentulah tidak mungkin perwakilan ada sebab untuk menegur dan mengkritiknya secara terbuka.

Tidakkah dalam hal ini kesalahan itu sebenarnya bermula di pihak Azmin sendiri?

Berikutan tersinggung dengan sindiran Anwar berkaitan Si Kitul dan Raja Mendaliar serta serangan perwakilan terhadapnya, Azmin lalu membayangkan kumpulannya akan memboikot kongres pada esok hari.

Azmin berkata, tiada sebab munasabah lagi baginya untuk berada esok hari di dewan kongres di MITC, Melaka itu.

Azmin ternyata bukan saja mudah kecil hati, tetapi juga berjiwa kecil dalam berhadapan dengan perwakilan di kongres partinya sendiri.

Agaknya beliau hanya gemar puji-pujian dan sanjungan semata-mata dalam kehidupannya.

Agaknya juga Azmin hanya mahu perbuatannya saja dianggap betul, manakala teguran orang lain kepadanya semua salah.

Ehhh….manja sangatlah kau ni Min!!

– https://shahbudindotcom.net/

.