AHLI PARLIMEN UMNO JUMPA AZMIN, TERMASUK HISHAMMUDDIN, DIGUGUR CALON PRU15?

Tanpa menyebut nama secara khusus, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi membayangkan pemimpin parti itu yang cuba berpaling tadah tidak lagi akan dicalonkan dalam PRU akan datang.

Mereka itu, berdasarkan perkembangan semasa, pastilah antaranya adalah 17 Ahli Parlimen UMNO yang berjumpa secara sulit dan tanpa pengetahuan parti dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali, baru-baru ini.

Termasuk dalam 17 Ahli Parlimen UMNO itu ialah Hishammuddin Hussein, bekas Naib Presiden UMNO dan bekas Menteri Pertahanan serta merupakan sepupu kepada Najib Razak.

Menggelar pemimpin berkenaan sebagai ‘reptilia melompat’, beliau berkata, tindakan akan diambil terhadap mereka apabila sampai waktunya.

Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN mengingatkan bahawa beliau mempunyai kuasa untuk tidak memilih mereka sebagai calon pada PRU akan datang.

“Sewaktu kita diuji, kita mahu lihat siapa yang melompat. Jangan lupa saya memerhati.

“Jangan lupa kuasa menandatangani watikah untuk jadi calon adalah di tangan saya selaku Pengerusi BN.

“Ya, sekarang saya tidak ambil tindakan. Tiba masanya jangan harap saya akan tandatangani watikah untuk mereka yang tidak setia kepada parti,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MCA kali ke-66 di Wisma MCA, Kuala Lumpur.

Baru-baru ini 17 Ahli Parlimen UMNO yang dikatakan diketuai Hishammuddin telah mengadakan perjumpaan sulit dengan Azmin kediamannya yang kemudiannya mencetuskan pelbagai spekulasi dan tanda tanya.

Tun Mahathir Mohamad, sebagaimana yang diberitahu Azmin kepadanya, memaklumkan mereka itu sedang menimbang untuk keluar UMNO kerana melihat parti itu sudah hilang arah tuju.

Majoriti kumpulan 17 tersebut kemudiannya menafikan kenyataan Tun Mahathir itu dengan sebahagiannya mendedahkan, merekalah sebaliknya yang mengajak Azmin agar menyertai UMNO.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Gerik, Hasbullah Osman yang turut pergi ke rumah Azmin berkata, perjumpaan hanyalah berkaitan permohonan projek-projek pembangunan di kawasan Parlimen masing-masing, sambil Timbalan Presiden PKR itu didakwa menasihati mereka agar terus kekal serta setia bersama UMNO.

Yang mana satu betul berhubung perjumpaan itu tidaklah diketahui, tetapi banyak perkhabaran menyatakan ia lebih bertujuan sebagai percubaan Azmin menyelamatkan dirinya dengan berselindung di sebalik usaha mengekalkan khidmat Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga ke hujung penggal.

Yang nyata, dengan bayangan yang diberi oleh Zahid Hamidi hari ini, jelas bahawa perjumpaan di rumah Azmin itu lebih bermotifkan politik berbanding permohonan projek.

Juga tidak masuk akal mereka mengajak Azmin menyertai UMNO kerana perjumpaan itu pun tanpa pengetahuan UMNO dan hanya Zahid Hamid yang berhak berbuat demikian.

Jika tidak, mengapa Zahid Hamidi berani membayangkan mereka itu, termasuk Hishammuddin, bakal tidak akan dijadikan calon lagi dalam PRU akan datang?

– https://shahbudindotcom.net/

.