AZMIN NASIHAT MP UMNO JANGAN LOMPAT PARTI, ADAKAH INI BERMAKNA BELIAU MAHU TUBUH PARTI BARU?

Sebelum ini, Tun Mahathir Mohamad memberitahu, sebagaimana yang dimaklumkan oleh Azmin Ali kepadanya, Ahli-Ahli Parlimen BN yang berjumpa dengannya mengadu tentang UMNO yang sudah hilang arah tuju dan mereka tidak tahu sama ada mahu kekal atau melompat parti.

Kemudian, 15 Ahli-Ahli Parlimen BN tampil menafikan mereka ada meluahkan hasrat mahu keluar UMNO kepada Azmin, manakala tujuh daripadanya yang membuat kenyataan bersama lebih awal mengatakan, merekalah sebaliknya yang mengajak Azmin agar masuk UMNO.

Terbaru, Ahli Parlimen Gerik, Hasbullah Osman yang merupakan antara Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang hadir dalam perjumpan dengan Azmin mendedahkan, Timbalan Presiden PKR dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu yang menasihatkan mereka agar jangan melompat parti.

“Itu keadaan yang sebenar, saya masih ingat Azmin kata jangan sesekali lompat parti.

“Kalau nak nafikan, tanyalah Azmin,” ujar beliau.

Versi terbaru daripada Hasbullah ini bermakna beliau cuba menafikan dua versi sebelum itu iaitu pertama, dakwaan Tun Mahathir bahawa mereka yang berjumpa Azmin itu mahu melompat parti kerana UMNO sudah hilang arah tuju dan kedua, kenyataan bersama tujuh Ahli Parlimen UMNO yang mendakwa mereka ada mengajak Azmin keluar PKR dan menyertai UMNO.

Jadi, versi mana yang betul?

Ataukah Hasbullah menyatakan perkara ini untuk membodek Azmin agar permohonannya berkaitan projek-projek pembangunan bagi kawasan Parlimen Gerik lebih mudah diluluskan?

Bagaimanapun, dilihat daripada sudut yang lain, kalaulah benar Azmin ada menasihatkan Ahli-Ahli Parlimen UMNO itu agar jangan melompat parti, bermakna beliau meminta mereka agar terus setia kepada UMNO.

Tidakkah lucu bunyinya kerana sebagai Timbalan Presiden PKR yang kini jelas tidak setia kepada partinya sendiri dengan tidak hadir mesyuarat selama setahun serta banyak menyanggah keputusan pucuk pimpinan melalui media, tiba-tiba boleh menasihatkan Ahli Parlimen UMNO agar setia kepada parti itu?

Lagi pula, dalam kedudukan Azmin yang merupakan menteri yang mewakili PH sebagai kerajaan, manakala UMNO adalah pembangkang, logiknya beliau tentulah suka jika ada di antara Ahli Parlimen itu mahu meninggalkan UMNO.

Maka, apa logiknya beliau menasihatkan Ahli Parlimen itu agar terus setia bersama UMNO?

Lebih daripada itu, bukan kerja atau urusan Azmin untuk menasihatkan mereka itu agar setia dan tidak melompat parti kerana kedudukan beliau dalam partinya sendiri tidak menentu dan senang terumbang-ambing.

Selain tidak hadir mesyuarat sejak setahun lalu dan banyak menyanggah keputusan parti, tidak dapat dipastikan berapa lama lagi beliau mampu mempertahankan dirinya daripada pemecatan kerana melanggar disiplin.

Silap-silap selepas Kongres PKR di Melaka pada 6 hingga 8 Disember nanti, keahlian dan jawatannya akan terlucut kerana dipecat oleh PKR.

Tetapi, mungkinkah tujuan Azmin memberi nasihat jangan lompat parti itu kerana beliau sudah boleh menjangka nasib dirinya, lalu kini sedang merancang menubuhkan sebuah parti baru dan berhasrat untuk bergabung dengan UMNO, Pas dan Muafakat Nasional bagi melampiaskan dendamnya terhadap Anwar serta PKR?

– https://shahbudindotcom.net/

.