EHH..EHH…SABARLAH SIKIT MAIL…PH ADA MASA LAGI 3 TAHUN 4 BULAN, KENAPA PERLU BUBAR PARLIMEN SEKARANG?

Berikutan kekalahan PH di Tanjung Piai, Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob menggesa agar Parlimen dibubarkan dengan segera.

Kata beliau, kekalahan itu menunjukkan rakyat telah hilang keyakinan kepada kerajaan.

“Penolakan rakyat terhadap PH di Tanjung Piai bukanlah yang pertama. Kerajaan telah ditolak berturut-turut sebanyak tiga kali sejak PRK Cameron Highlands, diikuti Semenyih dan Rantau.

“Majoriti kekalahan PH meningkat daripada 3,000 lebih di Cameron Highlands kepada 4,000 lebih di Semenyih dan Rantau sehingga memuncak kepada 15,000 lebih di Tanjung Piai.

“Mesej rakyat amat jelas iaitu mereka tidak lagi percaya kepada kerajaan PH untuk menerajui pemerintahan negara ini.

“Keputusan Tanjung Piai merupakan referendum rakyat yang menolak kerajaan hari ini.

“Kerajaan tiada pilihan lagi selain daripada membubarkan parlimen,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bera, Pahang.

Ehh…ehh…sabarlah Mail dan cubalah berfikir dengan matang terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Kalau semberono begini mengeluarkan kenyataan, walaupun berjawatan Ketua Pembangkang, nampak sangat masih belum matang dalam memahami keadaan serta keperluan perlunya sesuatu pilihanraya diadakan.

Hendaklah disedari bahawa pilihanraya diadakan atas dua sebab iaitu pertama, sebagai memenuhi keperluan perlembagaan di mana ia mesti diadakan dalam tempoh lima tahun sekali.

Dalam hal ini, Parlimen boleh dibubarkan dan pilihanraya diadakan pada bila-bila dalam tempoh lima tahun itu mengikut budi bicara kerajaan yang memegang kuasa.

Oleh kerana PH baru berkuasa selama 18 bulan dan ada tempoh 3 tahun 4 bulan lagi, maka untuk apa apa perlunya Parlimen dibubarkan sekarang?

Kalah dalam pilihanraya kecil adalah perkara biasa, tetapi semua itu tidak memperlihatkan kerajaan sedang tergugat.

Kerajaan PH masih boleh berjalan seperti biasa kerana tetap memiliki kedudukan majoriti Ahli Parlimen yang stabil di Dewan Rakyat.

Kedua, kerajaan boleh memanggil pilihanraya secara mengejut jika dirasakan kedudukannya tergugat dengan adanya sebahagian Ahli Parlimen kerajaan mengalih sokongan kepada pihak pembangkang.

Dalam keadaan itu, bagi mendapatkan semula mandat rakyat, maka ada keperluan untuk mengadakan pilihanraya semula.

Tetapi, setelah kalah dalam empat PRK ini,! adakah kedudukan kerajaan PH nampak tergugat?

Adakah terdapat Ahli-Ahli Parlimen kerajaan mengalih sokongan mereka kepada pembangkang?

Sebaliknya, apa yang berlaku sekarang, terdapat sebahagian Ahli Parlimen pembangkang pula yang secara terbuka menyokong kerajaan.

Maka, di mana logiknya kerajaan sekarang sedang tergugat dan perlu dipanggil pilihanraya dengan segera?

Apa yang penting, dalam tempoh berbaki 3 tahun 4 bulan yang masih ada, kerajaan boleh melakukan pelbagai perkara untuk memperbaiki sokongan rakyat yang merudum yang diperlihatkan dalam empat PRK sebelum ini.

Sebagai kerajaan baru, memang diakui PH ada kelemahan dan kekurangan di sana sini, tetapi ruang masa perlu diberikan kepada gabungan itu untuk menunjukkan khidmat dan keberkesanan kepada rakyat sebagaimana yang dijanjikan.

Untuk Mail dan sekalian para pemimpin UMNO yang kini bukan lagi berada dalam kerajaan, sabarlah sikit ya…belajarlah untuk hidup sebagai pembangkang untuk tempoh 3 tahun 4 bulan lagi sebelum PRU15 benar-benar akan diadakan pada tahun 2023 akan datang.

Tahun depan, selepas berlaku peralihan kuasa daripada Tun Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim, Insha Allah kerajaan PH ini akan lebih baik khidmat dan langkah reformasinya untuk rakyat.

Silap-silap kedudukan BN sebagai pembangkang akan bersambung lagi untuk lima tahun seterusnya.

– https://shahbudindotcom.net/

.