TAMPARAN BUAT PENGERUSI SPR….

Dua kenyataan di bawah ini tentu saja merupakan tamparan buat Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun yang baru-baru ini mengingatkan parti serta calon yang bertanding dalam PRK Tanjung Piai agar memohon permit polis sebelum melakukan kempen rumah ke rumah.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador menjelaskan, tiada permit polis diperlukan bagi kempen “walkabout” atau tinjauan mesra oleh parti atau calon yang bertanding dalam PRK Tanjung Piai.

Menurut beliau, parti politik hanya diminta mengisi borang ketika tempoh berkempen di PRK Tanjung Piai dan permit tidak diperlukan untuk mengadakan “walkabout” atau tinjauan mesra.

Hamid seterusnya berkata,!terdapat kekeliruan tentang perkara itu dan mengesahkan beliau tidak akan atau pernah menghalang mana-mana pihak menjalankan kempen mereka.

Sementara itu, Peguam Negara, Tommy Thomas juga menyatakan aktiviti “walkabout” dan kempen rumah ke rumah tidak memerlukan permit polis.

“Hakikatnya sejarah telah membuktikan semenjak 1955, kaedah-kaedah untuk meraih pengundi ini yang paling popular digunakan oleh calon-calon dari semua parti politik dan tanpa perlu untuk mendapatkan permit polis untuknya,” tambah beliau.

Tommy Thomas mengingatkan sebanyak 14 pilihan raya umum dan ratusan pilihan raya kecil telah diadakan sejak itu dan aktiviti berkempen dalam pilihanraya adalah penting dalam sistem demokrasi berparlimen di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, Seksyen 24B(3) Akta Kesalahan-kesalahan Pilihanraya adalah tidak jelas merujuk kepada kempen bergerak mahupun kempen dari rumah ke rumah.

Menurut seksyen itu, acara yang memerlukan permit adalah perjumpaan awam terbuka, perhimpunan awam terbuka, pertunjukan awam terbuka atau hiburan awam terbuka di mana ucapan atau syarahan hendak diberikan.

Dengan itu, kepada Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun – apakah masih mahu bertegas dengan ingatannya dua hari lalu agar parti dan calon memohon permit polis sebelum melakukan kempen rumah ke rumah di Tanjung Piai?

– https://shahbudindotcom.net/

.