ANWAR MAKIN KUKUH, PERALIHAN KUASA TAK DAPAT DIELAKKAN

Berdasarkan sambutan di konvensyen PKR negeri-negeri di mana sehingga ini hanya tinggal satu dua negeri saja lagi belum mengadakannya, apa yang terpapar nyata ialah kedudukan Anwar Ibrahim jelas semakin mantap dan kukuh.

Beliau bukan saja mendapat sokongan dalam menerajui PKR, bahkan untuk menerajui negara selepas Tun Mahathir Mohamad.

Melihat kepada intipati ucapannya yang banyak menjurus kepada soal menjaga rakyat, memerangi kemiskinan, prihatin kepada denyut nadi masyarakat dan semua yang bergelar pemimpin dalam PKR diingatkan harus lebih kerap turun padang bagi memahami permasalan di akar umbi, Anwar seolah-olah adalah nafas baru bagi negara ini.

Sambutan yang diterimanya juga memperlihatkan, di sebalik ada usaha memecah-belahkan PKR sebelum ini, misalnya dengan perlantikan Azmin Ali sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, walaupun namanya tidak pernah dicalonkan untuk menyertai kabinet lantaran sudah mengangkat sumpah sebagai MB Selangor selepas keputusan PRU14 lalu, terbukti telah tidak menemui kejayaan.

Bukan saja PKR tidak berpecah, malah semakin mantap kedudukannya, sebaliknya Azmin sendiri yang cuba diperalatkan kian terpinggir dalam PKR lantaran kegelojohannya meletakkan kesetiaan di tempat yang salah.

Kedudukan PKR yang mantap dan sokongan yang diterima Anwar juga membuatkan Tun Mahathir akhirnya tidak ada pilihan lain dengan baru-baru ini membuat pengakuan beliau pasti akan berundur sebelum PRU15 akan datang.

Kenyataan Tun Mahathir itu dengan sendirinya bererti beliau menolak sama sekali desakan pelbagai pihak, misalnya daripada Pas, beberapa Ahli Parlimen UMNO, Azmin dan kalangan pemimpin Bersatu yang mahu beliau menamatkan khidmatnya sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal.

Walaupun tarikh penyerahan kuasa daripada Tun Mahathir kepada Anwar masih menjadi teka-teki – sama ada dua tahun atau tiga tahun – pengakuan Tun Mahathir bahawa beliau tetap akan berundur sebelum PRU15 adalah merupakan satu lagi petunjuk penting bahawa peralihan kuasa memang sesuatu yang tidak dapat dielakkan sebelum PRU15 diadakan.

Anwar adalah satu-satunya pilihan yang signifikan dan disokong penuh oleh semua parti dalam PH sebagai calon PM8 dan seterusnys mengemudi PH untuk pilihanraya akan datang.

Cubaan menonjolkan nama lain, baik daripada dalam PH, lebih-lebih lagi kalau daripada luar gabungan itu, ia adalah suatu tindakan durjana serta khianat kepada pilihan pengundi yang sepakat memilih menumbangkan UMNO dan BN pada PRU14 lalu.

Dalam hal ini, oleh kerana Tun Mahathir tentunya lebih mahu PH terus menang pilihanraya seterusnya, setidak-tidaknya agar legasi dan kenegarawanannya tidak tercemar, adalah mustahil beliau hanya akan berundur dan menyerahkan jawatan kepada Anwar sesingkat dua atau tiga hari sebelum tarikh PRU15 diumumkan.

Tun Mahathir tidaklah sukar untuk memahami bahawa Anwar harus diberi masa yang sesuai sekurang-kurangnya dua tahun bagi beliau menunjukkan kepimpinan dan memperkenalkan dasar-dasar baru dalam menerajui negara ke arah bukan saja menjaga rakyat dengan lebih baik, bahkan mengekalkan kemenangan PH.

Jika lebih singkat daripada itu tempoh yang diberikan kepadanya, adalah sukar untuk Anwar melakukan sesuatu dengan berkesan untuk rakyat dan negara.

Tetapi, berdasarkan prestasi kerajaan sekarang yang begitu banyak dipertikaikan dan tidak berkembang, malah Tun Mahathir yang menjangkau usia 95 tahun itu dianggap sudah tepu, banyak pihak merasakan lagi cepat peralihan kuasa dilakukan, ia lagi baik untuk negara ini.

Dua tahun iaitu Mei 2020 adalah paling sesuai dan munasabah untuk penyerahan jawatan dilakukan, manakala tiga tahun dianggap terlalu lewat dan mungkin menyebabkan bertambah merosotnya keyakinan rakyat kepada PH dan kerajaan.

Dirasakan bahawa Anwar dengan idealisme dan semangat reformasi yang sarat bertapak dalam jiwanya sejak lebih 20 tahun lalu, beliau dianggap lebih memahami untuk terus melakukan pembaharuan politik, sosial dan ekonomi bagi negara ini untuk fasa-fasa seterusnya sebelum PRU15 diadakan.

Reformasi lahir ditangan Anwar, setelah PH berjaya menjadi kerajaan, maka beliaulah yang lebih sesuai untuk melakukan pembaharuan sebagaimana generasi Malaysia Baru benar-benar hendak ia dilaksanakan di negara ini.

– https://shahbudindotcom.net/

.