PESANAN BUAT IGP – SELESAIKAN KES VIDEO HAZIQ LEBIH DULU BERBANDING JHO LOW

Walaupun sebelum ini Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador pernah berhasrat untuk membawa pulang Jho Low sebelum akhir tahun, tetapi perkembangan terbaru seolah-olah menunjukkan hasrat itu sukar untuk menjadi kenyataan.

Ini berikutan pengakuan Abdul Hamid semalam bahawa negara di mana Jho Low berselindung ketika ini enggan memberi sebarang kerjasama kepada polis Malaysia.

“Antara alasan diberikan mereka, termasuk kononnya dia (Jho Low) sudah mengubah rupanya dengan menjalani pembedahan muka dan menyerupai beruang.

“Muka dia dikatakan sama seperti muka beruang. Saya tidak tahulah, tetapi kononnya dia sekarang sudah mengubah rupa bentuk mukanya.

“Ada ketikanya dia dikatakan berjalan menyerupai seekor tambadau (seladang). Jadi, bila kita lihat dari belakang, begitulah rupanya.

“Adakah logik alasan diberikan ini (oleh pihak berkuasa negara itu)?” kata Abdul Hamid berhubung perkembangan terbaru mengenai pemburuan Jho Low.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pihaknya bersikap terbuka dan sedia untuk terus berbincang dengan pihak berkuasa negara luar untuk membawa pulang Jho Low ke Malaysia.

Dalam waktu yang sama, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin turut menegaskan, meski mengubah wajah dan penampilannya, kerajaan tetap akan memburu Jho Low sehingga ke lubang cacing sekali pun.

“Kita tak akan berhenti sampai kita dapat kerjasama dari negara yang kita agak di mana dia (Jho Low) berada dan kalau ada kerjasama Interpol (polis antarabangsa) bantu, perkara itu akan dapat kita selesaikan.

“Tapi apa pun kita tak akan berhenti untuk cari (Jho Low) walau sampai ke lubang cacing,” katanya lagi.

Sementara tidak dinafikan pentingnya Jho Low dibawa balik, tetapi pihak berkuasa, khususnya polis tidak harus terlalu asyik serta leka dengan perkara itu semata-mata.

Ini kerana sama ada Jho Low dapat dibawa balik atau tidak, kes 1MDB di negara kita sudah pun dibawa ke mahkamah untuk diadili.

Najib Razak kini sedang berdepan puluhan pertuduhan di mahkamah, manakala di beberapa negara lain, rampasan aset serta harta yang dipercayai dibeli dengan wang songlapan 1MDB turut dilakukan.

Dalam bahasa mudah, tanpa Jho Low ditangkap pun, kes berkaitan 1MDB tetap dapat dibawa ke mahkamah.

Hanya, jika Jho Low dapat ditangkap dan dibawa balik, kelebihannya ialah kita dapat mendengar cerita sebenar daripada mulutnya sendiri berkaitan skandal 1MDB itu, di samping mungkin ada kepuasan dapat menghukumnya kerana dialah dianggap dalang yang sebenarnya yang telah merosakkan nama negara.

Maka itu, kepada Abdul Hamid, tidak perlulah terlalu gundah gulana atau pening kepala sama ada Jho Low dapat dibawa balik atau tidak.

Biarlah negara di mana beliau berlindung itu memberi alasan apa sekali pun untuk terus melindunginya kerana dalam dunia ini, wang memang boleh membeli hampir segala-galanya.

Yang penting, kes mahkamah 1MDB sedang berjalan, wang-wang curi berkaitan dengannya sedang diusahakan untuk didapatkan kembali dan UMNO serta BN sudah kehilangan kuasanya kerana skandal tersebut.

Tetapi, bagi rakyat kebanyakan, mereka lebih risau dan gundah gulana dengan polis pimpinan Abdul Hamid sendiri yang sudah banyak bulan masih gagal menyelesaikan kes “video Haziq” yang dikatakan melibatkan menteri kanan, Azmin Ali.

Berbanding membawa balik Jho Low, kes “video Haziq” dirasakan lebih mudah untuk diselesaikan oleh pihak polis kerana ada video yang disahkan tulen sebagai buktinya, ada pengakuan Haziq yang mengaku melakukan hubungan seks sejenis dengan Azmin, ada rakaman CCTV dan pelbagai bukti yang lain lagi.

Oleh kerana kes “video Haziq” sudah berbulan-bulan berlalu tanpa ketahuan bagaimana kesudahannya, sedangkan ia melibatkan seorang menteri kanan dan Tun Mahathir Mohamad pula gemar membawa Azmin sebagai menteri pengiringnya dalam lawatannya ke seluruh dunia, seolah-olah untuk menunjuk-nunjuk inilah menterinya yang dikatakan ada hubungan sejenis itu, hakikatnya lagi lambat diselesaikan, lagi malu negara dibuatnya.

Tidak ada pilihan lain, kes “video Hazip” lebih penting sebenarnya untuk diselesaikan terlebih dahulu berbanding membawa balik Jho Low kerana jika terus dilambat-lambatkan, bererti perangai kita pun sama juga macam negara yang melindungi bilionaire itu.

Maka, pesanan buat Abdul Hamid, selesaikan dahulu kes “video Haziq” yang ada di depan mata dengan segara dan rehatlah seketika daripada bercakap untuk membawa balik Jho Low.

– https://shahbudindotcom.net/

.