MAHATHIR MELAYU MUDAH LUPA?

Di bawah ini adalah petikan berita yang pernah disiarkan oleh Berita Harian pada 30 Disember 2018 yang lalu.:

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan cadangan beberapa perwakilan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang mahu dirinya kekal sebagai Perdana Menteri selama sepenggal, tidak boleh dilaksanakan.

Pengerusi BERSATU itu berkata, perjanjian supaya beliau menjadi Perdana Menteri untuk sementara waktu, adalah satu pengorbanan yang perlu diterima ahli BERSATU.

Katanya, perjanjian itu dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bersama parti komponen Pakatan Harapan (PH) supaya ‘musuh lama’ dapat bersatu untuk memastikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjaya ditumbangkan.

“Saya sedar desakan supaya kita terus ada Perdana Menteri yang tua ini lama-lama lagi, tapi suatu ketika dulu kita adalah pembangkang, kita tubuh parti dan harap dapat sokongan, khususnya daripada orang Melayu.

“Kalau dapat sokongan orang Melayu saja tanpa parti lain, saya tak yakin kita dapat menang. Untuk adakan gabungan parti, maka kita berunding dengan rakan kita.

“Satu syarat dikenakan ialah supaya (saya) yang juga bekas musuh ketat mereka boleh jadi Perdana Menteri untuk sementara.

“Jadi kita perlu berkorban dan terima syarat itu kerana yang utama bukan menjadi Perdana Menteri, tetapi menjatuhkan Datuk Seri Najib (Razak). Itu perjuangan kita,” katanya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) kali kedua BERSATU di sini, hari ini.

Terdahulu, ketika sesi perbahasan, beberapa perwakilan BERSATU mencadangkan supaya Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun, cadangan itu bercanggah dengan perjanjian dibuat antara pimpinan PH yang bersetuju melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri selama dua tahun, sebelum digantikan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr Mahathir berkata, ahli BERSATU perlu bertolak ansur dan menerima perjanjian itu kerana pengorbanan setiap parti komponen PH ketika itu yang menghasilkan kemenangan pada PRU-14.

“Dalam perjuangan, perlu ada tolak ansur. Kalau kita berdegil, berkeras, kita akan binasa, jauh sekali mencapai matlamat digariskan kita,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang medianya, Dr Mahathir berkata, beliau tidak pernah mengadakan perbincangan lanjut dengan Anwar berhubung tempoh ‘penyerahan’ jawatan Perdana Menteri kepada Presiden PKR itu.

Beliau berkata, perkara itu juga tidak dibincangkan langsung ketika makan malam bersama Anwar.

“Tiada. Kami tidak ada bercakap mengenai hal itu. Walaupun ketika kami sedang makan malam bersama, perkara itu tidak pernah dibangkitkan.

“Saya rasa beliau rasa selesa dengan janji bahawa beliau akan jadi pengganti saya mungkin dalam tempoh dua tahun.

“Mungkin dalam tempoh pendek. Apapun, mungkin juga saya tidak akan menyandang jawatan Perdana Menteri sehingga pilihan raya akan datang,” katanya.

Sekarang, setelah hampir setahun berlalu dengan berita di atas disiarkan iaitu berdasarkan ucapan dan kata-kata Tun Mahathir sendiri, agak-agak masih ingatkah beliau dengan apa yang pernah diucapkannya itu?

Atau sudah lupa?

Mungkinkah beliau sengaja lupa?

Kalau dibandingkan apa yang ada di depan mata kita sehari dua ini, adakah Tun Mahathir sebenarnya antara orang Melayu yang mudah lupa sepertimana yang selalu disebutnya selama ini? 

-https://shahbudindotcom.net

.