ANTARA 2020, 2030 DAN 2050, TENTULAH 2020 PALING MUNASABAH

Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, A Kadir Jasin berkata, tiada tarikh khusus ditetapkan berhubung peralihan jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir Mohamad kepada pengganti yang telah dipersetujui, Anwar Ibrahim.

Kata beliau, tiada dokumen dalam PH yang menyebut mengenai tempoh masa itu.

“Persetujuan itu dalam mana-mana dokumen pun tidak dinyatakan tarikh.

“Tahun 2020 ke, 2030 ke atau 2050 pun tak dinyatakan bilakah tarikhnya,” kata Kadir lagi.

Bagaimanapun, Kadir tetap yakin Tun Mahathir akan berpegang dan menunaikan janji penyerahan jawatan Perdana Menteri itu kepada Anwar sebagaimana yang telah dipersetujui.

Apa yang disebut oleh Kadir itu memanglah betul lagi sahih bahawa tiada ketetapan tarikh yang disebut dalam perjanjian peralihan kuasa, tetapi haruslah disedari tempoh dua tahun mahu memegang jawatan Perdana Menteri telah dinyatakan sendiri oleh Tun Mahathir.

Kata beliau, tempoh dua tahun bermula 10 Mei 2018 menjadi Perdana Menteri adalah memadai untuknya melaksanakan tugas memperbaiki kerosakan dan memulihkan keadaan negara yang ditinggalkan oleh Najib Razak.

Ditambah dengan kesedaran bahawa ketika mengangkat sumpah jawatan itu Tun Mahathir sudah berusia 93 tahun, maka dua tahun iaitu sehingga tahun 2020 atau menjelang usianya 95 tahun adalah masa yang sesuai untuk beliau berundur dan menyerahkan kepada penggantinya, Anwar mengambil alih teraju pentadbiran negara.

Jika tahun 2020 pun Tun Mahathir sudah berusia 95 tahun, di tahun 2030 bermakna beliau akan berusia 105 tahun.

Adakah Tun Mahathir akan panjang umur sehingga usia 105 tahun?

Kalaulah sehingga tahun 2030 Tun Mahathir masih hidup – syukur Alhamdulillah – tetapi keadaan beliau berucap yang ketika ini sering tersekat-sekat dan kadang-kadang perlu pembantu mengulangi soalan wartawan kepadanya, rasanya hampir mustahil beliau ada keupayaan lagi untuk menjalankan tugas sehingga tahun tersebut.

Malah jika sehingga habis penggal iaitu tahun 2023 Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri di mana ketika itu beliau akan berusia 98 tahun, rasanya itu pun sudah terlalu lewat dan tiada keupayaan lagi baginya.

Tahun 2050 tentulah lebih tak terfikir kita kalau Tun Mahathir masih hidup, apalagi kalau masih sihat seperti hari ini.

Bermakna, antara tahun 2020, 2030 dan 2050, paling sesuai, munasabah dan paling tepat untuk Tun Mahathir melakukan penyerahan jawatan ialah pada 2020.

Tiada tarikh lain yang lebih sesuai daripada itu.

Tambahan lagi, sesuai dengan Wawasan 2020 yang dicipta oleh Tun Mahathir, menunaikan janji penyerahan jawatan pada tahun yang sama tentu saja akan membuatkan namanya lebih dihargai dan disanjung tinggi.

Pastilah buruk bunyinya jika tahun 2020 nanti dikenang sebagai tahun Tun Mahathir memungkiri janjinya kepada Anwar yang terbukti telah bersikap tulus, pemaaf serta sedia berganding bahu demi menumbangkan UMNO dan BN, seterusnya menyebabkan permusuhan kali kedua antara mereka tercetus kembali.

Dalam hal ini, apabila Kadir menyebut tahun 2020, 2030 dan 2050, beliau seakan-akan cuba mengingatkan Tun Mahathir bahawa tiada tahun lain selain 2020 untuk bossnya itu melepaskan jawatan atau jangan lupa janji kepada Anwar yang selalu disebut dan diulang-ulangnya sendiri olehnya akan tetap ditepatinya itu.

Terima kasih Kadir!!

– https://shahbudindotcom.net/

.