POLIS HALANG KUMPULAN PEMANTAU TUJU BANGUNAN PARLIMEN

KUALA LUMPUR – Polis menghalang kira-kira 50 individu yang menyertai perhimpunan anjuran kumpulan yang menggelar diri sebagai Pemantau Malaysia Baru daripada menghampiri kawasan Parlimen semasa istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 hari ini.

Mereka berhimpun sejak pukul 8 pagi di pekarangan tempat letak kereta berhampiran ibu pejabat polis Bukit Aman di sini dan sepatutnya bergerak ke bangunan Parlimen sebagai tanda memberi sokongan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V yang merasmikan istiadat pembukaan tersebut.

Bagaimanapun, anggota polis daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) tidak membenarkan mereka keluar daripada kawasan tempat letak kereta itu.

Presiden kumpulan pemantau, Datuk Lokman Noor Adam menyifatkan tindakan menghalang peserta bergerak ke bangunan Parlimen sebagai sesuatu yang tidak adil.

“Kami akur dengan arahan polis dan bersurai secara aman… kami tidak mahu dilabel sebagai penentang undang-undang negara,” katanya kepada pemberita sebelum kesemua peserta bersurai sepenuhnya menjelang pukul 12 tengah hari.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Supt Rudy Abdullah ketika ditemui enggan mengulas mengenai perhimpunan itu.

— Bernama

.