PEMBANGKANG ENGGAN BOIKOT SIDANG AKAN KENA TINDAKAN, KATA NAJIB

BEKAS perdana menteri Najib Razak menyerahkan kepada parti untuk mengambil tindakan ke atas wakil rakyat pembangkang yang enggan memboikot persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ini memandangkan, keputusan untuk keluar Dewan bagi membantah pelantikan speaker itu merupakan keputusan parti, kata ahli Parlimen Pekan itu.

“Itu adalah keputusan parti. Saya serahkan kepada parti mengenai apa-apa keputusan mereka dan pandangan.

“Mungkin mereka patut (jelaskan) mengapa mereka berbuat demikian,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen selepas upacara angkat sumpah ahli Dewan hari ini.

Tiga wakil pembangkang yang kekal di tempat duduk selepas tindakan boikot itu dijalankan pagi ini adalah dua orang bekas menteri, Khairy Jamaluddin dan Anifah Aman dan juga ahli Parlimen Labuan, Rozman Isli.

Pembangkang bertindak keluar Dewan bagi membantah pelantikan Mohamad Ariff Md Yusoff sebagai speaker baharu.

Menurut ahli parlimen tersebut, pelantikan tersebut sepatutnya diumumkan Dr Mahathir Mohamad 14 hari sebelum bermula sesi Dewan Rakyat kali ini.

Mereka mempersoalkan kenyataan Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang menjelaskan, kerajaan mematuhi tempoh tersebut kerana nama Ariff dikemukakan pada 2 Julai.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mendakwa kerajaan Pakatan Harapan hanya memutuskan nama Ariff pada 9 Julai.

“Kami tak menolak pencalonan speaker yang baru sebagai seorang yang dicalonkan.

“Kami menolak dari segi tidak mematuhi peraturan Dewan yang jelas memerlukan notis 14 hari bererti 2 Julai adalah tarikh terakhir dan kami dapat tahu bahawa kenyataan daripada timbalan perdana menteri berkata pada 9 Julai baru mereka putuskan siapa menjadi Speaker.

“Jadi soalnya sekarang kita sebagai sebuah Parlimen perlu mematuhi segala peraturan Parlimen dan sebagai pembangkang,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.