ISU KAUM DAN AGAMA TIDAK AKAN BAWA UMNO ATAU PAS KE MANA-MANA

Apa yang nyata di sebalik keputusan PRU14 ialah sistem politik negara kita telah menemui titik kematangannya dan rakyat menolak amalan perkauman serta agama yang keterlaluan.

Dengan menangnya Pakatan Harapan dan tumbangnya BN, pertukaran kerajaan selepas ini bukan lagi sesuatu yang asing.

Tetapi, perubahan kerajaan tidak mungkin boleh dijayakan dengan momokan isu-isu perkauman atau agama, sebaliknya mesti bertunjangkan sejauh mana hak rakyat dapat diperjuangkan.

Sesiapa yang berjaya memperjuangkan hak dan isu-isu rakyat, maka itulah yang akan menentukan siapa yang mampu menjadi kerajaan. Pakatan Harapan menang adalah kerana isu rakyat yang dibawanya dan UMNO serta Pas ditolak lantaran sentimen kaum serta agama tidak laku lagi untuk meraih undi.

Jika Pakatan Harapan kekal dengan isu-isu rakyat yang diperjuangkannya sebagaimana sebelum PRU14 lalu, maka mereka akan berupaya terus kekal sebagai kerajaan dalam tempoh yang lebih lama lagi.

Sebaliknya, kalau UMNO dan Pas masih terkepung dalam kepompong perkauman dan agama yang dalam waktu yang sama, para pemimpin kedua-dua parti itu turut terpalit dengan pelbagai skandal, salah laku dan kedurjanaan, perjuangan mereka tidak akan ke mana-mana.

Sebaik kehilangan kuasa, UMNO patut sedar hakikat itu. Generasi Malaysia Baru bukan saja tidak terpana, bahkan menolak amalan politik berteraskan kaum dan agama yang keterlaluan.

Malangnya, berbanding sebelum ini, sebaik saja kehilangan kuasa, UMNO sekarang ini terlihat lebih rasis lagi sifatnya.

Semua isu yang dibantahnya dikaitkan dengan kedudukan kaum dan agama. Siapa jadi menteri kewangan, peguam negara, ketua hakim negara, menteri jaga komunikasi dan undang-undang, semuanya salah di mata UMNO kerana mereka bukan Melayu dan bukan beragama Islam.

Begitu juga dengan Pas, semua jawatan yang sama seperti di atas adalah salah di mata parti itu kerana mereka bukan Islam dan kononnya suatu ancaman kepada kedudukan Islam.

Harus kita ingat bahawa semua perlantikan itu tidak sama sekali bercanggah dengan perlembagaan negara, selain kedudukan individu berkenaan juga dilihat sesuai dari segi  ketokohan, intergiti dan kekananan mereka.

Kalau perlembagaan sendiri tidak menghalang perlantikan itu, maka dari sudut apa lagi UMNO dan Pas mesti terus meniupkan sentimen perkauman dan agama melaluinya?

Sejauh mana benarnya perlantikan mereka itu mengancam kedudukan Melayu dan Islam berbanding perangai setengah pemimpin UMNO yang terpalit skandal, mencuri harta rakyat, membiarkan isteri bermewah dan membazir atau  lagak sebahagian pemimpin Pas yang gemar mencarut serta memaki hamun atas nama agama?

Apakah kemuliaan kedudukan Melayu dan Islam ditentukan oleh penjawat jawatan yang dipertikaikan itu atau melalui perangai kita sendiri?

Jika kita seorang Islam yang baik, tidak melakukan kejahatan dan tidak dibawa ke mahkamah, kenapa kita mesti takut dengan peguam negara, ketua hakim negara atau menteri yang menjaga undang-undang  yang bukan berbangsa Melayu dan beragama Islam?

Apakah seorang Melayu dan Islam yang jahat yang apabila diheret ke mahkamah, mereka sebenarnya berharap akan mendapat perlindungan daripada seorang peguam negara, ketua hakim negara dan menteri yang menjaga undang-undang yang berbangsa Melayu dan beragama Islam?

Jika begitu, di mana maruah mereka sebagai orang Melayu dan beragama Islam?

Dalam hal ini,  UMNO dan Pas boleh terus bermain dengan sentimen kaum dan agama, jika itu pilihannya, tetapi ia tidak membawa mereka ke mana-mana, jauh sekali untuk mampu menawan Putrajaya.

Dalam kelompok Melayu dan Islam sendiri, mereka kini berpecah kepada beberapa kumpulan seperti UMNO, Pas, Bersatu, PKR, Amanah dan pelbagai pecahan kecil yang lain.

Daripada semua itu, yang masih terpegun dengan amalan perkauman dan agama yang keterlaluan hanyalah UMNO dan Pas saja, itu pun tidak semua.

Selebihnya adalah mereka yang sederhana dan melihat isu rakyat seperti rasuah, penyelewengan, tata kelola ekomomi dan urus tadbir yang baik sebagai keutamaan.

Bagi golongan sederhana ini, peguam negara atau ketua hakim negara bukan melayu tidaklah isu yang terlalu besar asalkan mereka boleh berlaku adil, bertindak atas kebenaran dan tidak mempertahan, membela atau melindungi siapa pun yang menjadi penyamun dan merompak wang rakyat.

Juga bukanlah isu bagi golongan sederhana dalam mempertahankan ketua hakim negara dan menteri undang-undang bukan Melayu berbanding malu membela Jho Low yang jelas-jelas merosak dan membawa bencana kepada negara.

Hakikatnya, tiada guna pun jika Melayu yang beragama Islam duduk di kerusi penting itu sedangkan di mata rakyat mereka terlihat terang-terang bersekongkol dengan penyamun, melindungi perbuatan salah serta menyembunyikan kebenaran.

Mereka yang berpencak atas nama kaum dan agama ini bukan saja makin mengecil, bahkan tidak lagi mendapat sokongan daripada kaum-kaum lain. Itulah sebabnya, kaum lain sudah lama menolak

MCA dan MIC yang turut mengamalkan politik perkauman.

Tanpa sokongan menyeluruh daripada kaum-kaum lain, mainan sentiimen perkauman dan agama yang keterlaluan itu akhirnya hanya menjadikan UMNO dan Pas syok sendiri bersama pentaksub mereka saja.

Percayalah, mereka akan kekal sebagai pembangkang untuk tempoh yang lebih lama dengan isu-isu kaum dan agama itu.

– http://shahbudindotcom.blogspot.com

.