SEJAK PAKATAN MENANG, BERSATU PERLIS TERIMA HAMPIR 4,000 BEKAS AHLI UMNO

BERSATU Perlis telah menerima hampir 4,000 orang bekas ahli Umno sebagai ahli biasa parti itu sejak Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas, kata Pengerusinya Ameir Hassan.

Beliau berkata bahagian Arau dan Padang Besar masing-masing menyaksikan hampir 1,000 bekas ahli Umno telah diterima menyertai Bersatu.

“Permohonan bekas timbalan ketua Umno Bahagian Arau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Tambun Tulang Ismail Kassim bagaimanapun ditolak kerana beliau didakwa mengkritik hebat PH menjelang PRU14.

“Kami tidak menghalang siapa sahaja yang ingin menyertai PPBM (Bersatu). Jika permohonan mereka ditolak di peringkat bahagian atau negeri, mereka boleh mohon terus kepada pusat,” kata Ameir kepada media ketika ditemui pada majlis kesyukuran dan ramah mesra Bersatu Perlis di kediamannya di Arau, hari ini.

Pada majlis itu beliau menyerahkan surat penerimaan kepada bekas ahli Parlimen Arau Syed Razlan Putra Jamalullail sebagai ahli biasa Bersatu Arau, disaksikan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bersatu Arau, Maton Din.

Sementara itu Wan Saiful yang juga penasihat khas kepada menteri pendidikan berkata mesyuarat khas berhubung penangguhan pembayaran balik pinjaman PTPTN bagi mereka yang berpendapatan kurang RM4,000 sebulan akan diadakan di Putrajaya esok.

– Bernama,

.