ALHAMDULILLAH, SETELAH SAMA-SAMA KALAH…..

Tanpa berselindung, Presiden UMNO, Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan berbincang dengan Pas untuk meletakkan hanya satu calon pembangkang bertanding dalam pilihanraya kecil Sungai Kandis,  4 Ogos depan.
Katanya, ini adalah strategi pihak pembangkang untuk memastikan pertembungan satu lawan satu dan bagi memberikan saingan sengit kepada Pakatan Harapan.
“Kami juga akan ambil kira siapa calon yang boleh menang dan mampu mendapat sokongan dalam pilihanraya kecil itu,” ujar beliau.
Alhamdulillah….akhirnya nampak juga jalan kerjasama antara UMNO dengan Pas.
Sebelum ini, macam-macam hujah dan alasan diberikan untuk saling tidak bekerjasama antara kedua-dua parti itu, termasuk keyakinan bahawa pertandingan tiga penjuru adalah lebih baik untuk membenam Pakatan Harapan.
Acapkali juga Pas menyatakan kerjasama dengan UMNO hanya akan berlaku jika parti nasionalis itu sedia menerima Islam sebagai inti perjuangannya.
Bagaimanapun, UMNO selalunya membalas balik dengan mengatakan tiada keperluan untuk mereka bekerjasama dengan Pas kerana ia dibimbangi akan menjejaskan kesepakatan dalam BN.
Tetapi, senario politik semasa dan selepas PRU14 banyak merubah segala-galanya.
Tidak seperti dua pilihanraya kecil sebelum ini iaitu di Sungai Besar dan Kuala Kangsar di mana pertandingan tiga penjuru telah memberi kelebihan kepada BN, sebaliknya dalam PRU14 pada 9 Mei lalu, pertembungan tiga penjuru adalah suatu sejarah kemenangan buat Pakatan Harapan.
Kini, setelah sama-sama kalah, UMNO dan Pas nampaknya lebih percaya kepada strategi satu lawan satu pula dan mula menunjukkan keinginan untuk saling bekerjasama.
Hmmmm….

Cuma, sediakah Pas menerima huluran tangan untuk bekerjasama ini, lebih-lebih lagi jika yang bertanding adalah calon UMNO?

– http://shahbudindotcom.blogspot.com

.