KHAIRY BIDAS UMNO MASIH ‘PEKAK’, TERUS MAIN SENTIMEN KAUM

PETALING JAYA – Bekas calon presiden Umno, Khairy Jamaluddin hari ini membidas parti itu masih “pekak” terhadap suara rakyat dan terus memainkan sentimen perkauman selepas kekalahan mengejut pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau merujuk tindakan sesetengah pemimpin Umno mempersoalkan pelantikan peguam negara dan ketua hakim daripada kalangan bukan Melayu berbanding isu ekonomi serta sosial masyarakat.

“Sejak selesai pemilihan Umno, apa yang parti saya buat? Main sentimen kaum, kutip tabung untuk bekas presiden dan ‘repeat semula’.

“Tak salah kita bersolidariti dengan DSN (Datuk Seri Najib Razak), tetapi takkan itu sahaja Umno ‘baharu’. Dah kena pukulan maut semasa PRU14, masih pekak terhadap suara rakyat,” tulisnya di Twitter hari ini.

“Jika modal untuk PRU15 hanya dengan momokan orang Melayu dengan isu seperti pelantikan bukan Melayu sebagai AG (peguam negara), ketua hakim dan lain-lain, lupakan sahaja impian menawan semula Putrajaya. Keresahan Melayu memang ada, tetapi perkara ini kecil berbanding isu ekonomi, sosial dan lain-lain.”

Badan bukan kerajaan (NGO) pro-Umno yang dinamakan Pemantau Malaysia Baru dijadual mengadakan perhimpunan Isnin depan sebagai membantah pemerintahan DAP yang didakwa memperkudakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Presiden yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam dilaporkan berkata: “Sudahlah peguam negara juga Kristian, menteri agama pun datang dari puak liberal Amanah, selepas ini pula bapa Lim Guan Eng akan diangkat sebagai speaker Dewan Rakyat”.

Pemilihan dan pelantikan Tommy Thomas yang bukan orang Melayu serta Islam sebagai peguam negara pada awal bulan lalu dipertikaikan sesetengah pihak.

Semalam, Tan Sri Richard Malanjum mengangkat sumpah sebagai ketua hakim negara bagi menggantikan Tun Md Raus Sharif yang mengemukakan surat peletakan jawatan bulan lalu dan berkuat kuasa 31 Julai ini.

Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau menjangkakan Umno akan terkubur dalam beberapa tahun lagi, jika memilih haluan salah.

“Umno sekarang berada di persimpangan jalan untuk memilih sama ada mengambil haluan kanan atau tengah. Ke kanan mungkin menang sorak sementara. Tetapi pasti lingkup 10-15 tahun lagi. Haluan tengah bukan mudah. Sukar difahami akar umbi. Tetapi itulah jalan yang ada untuk ‘survive’.”

Bekas menteri belia dan sukan itu percaya DNA asal Umno ialah parti sederhana dan berhaluan tengah yang menyokong kepelbagaian, tetapi masih menjadi “khemah besar untuk orang Melayu”.

“Sebab itu saya masih bersama Umno. Tetapi saya tak setuju dengan manifestasi rasis yang semakin wujud selepas pemilihan parti.

“Saya tidak terima tawaran jawatan selepas kalah dalam pemilihan sebab saya perlu ada kebebasan untuk bersuara dalam parti. Biarlah ada kepelbagaian suara dalam Umno.

“Ada yang label saya ‘liberal’ dan lain-lian. Tak penting. Yang penting ada ‘dissenting voice’ lawan haluan kanan parti.”

Pada 1 Julai lalu, bekas ketua Pemuda Umno itu menolak tawaran Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk jawatan setiausaha agung Barisan Nasional (BN).

Katanya, beliau tidak mahu memegang sebarang jawatan tertinggi dalam parti, sebaliknya mahu fokus menjadi ahli Parlimen Rembau.

– FMT

.