MASZLEE: IKTIRAF UEC TAKKAN LAMA SEPERTI ’60 TAHUN BN

Kerajaan tidak membuat “pusingan u” apabila merancang mengiktiraf Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC) di sekolah persendirian Cina, kata Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

Sebaliknya, kata Maszlee, konflik sebenar adalah sesama pemimpin BN, termasuk Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong dan Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

“Kita akan pastikan apa pun dasarnya, keputusan yang kita buat tidak akan ada pusingan u, tidak akan ada flip flop (berubah-rubah), dan ia mesti menyeluruh,” kata Maszlee.

Menteri pendidikan berkata demikian ketika ditemui pemberita di Putrajaya hari ini.

Dilaporkan sekolah persendirian Cina yang menganjurkan UEC tidak menerima dana kerajaan.

Dalam skop pengajaran, bahasa Mandarin menjadi medium pengajaran dengan penekanan kepada subjek-subjek bawah UEC dan hanya satu subjek Bahasa Melayu disertakan, sebagai memenuhi syarat kerajaan.

Ditanya berapa lama UEC akan diiktiraf, Maszlee berseloroh ia tidak akan mengambil masa “60 tahun seperti BN”.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching, Ahad lalu berkata beliau merancang supaya UEC diiktiraf sebelum hujung tahun ini.

Maszlee kemudian berkata beberapa aspek perlu diambil kira sebelum tindakan itu diambil.

Teo kemudian menghuraikan ia bagi memastikan status bahasa Malaysia tidak terancam dengan pengiktirafan sijil itu.

Manifesto Pakatan Harapan berjanji supaya UEC boleh digunakan untuk memasuki institut pendidikan tinggi awam dengan syarat pemohon mempunyai kredit dalam Bahasa Melayu di peringkat SPM.

Parti Cina MCA antara yang tampil mendesak supaya janji-janji itu ditunaikan.

Asyraf bagaimanapun berkata, pengiktirafan UEC akan meletakkan identiti pendidikan negara dalam keadaan bercelaru.

– M’kini

.