TIDAK, JHO LOW TIDAK BERADA DI CHINA, KATA PEGAWAI

PETALING JAYA – Seorang pegawai China menolak laporan mengatakan ahli perniagaan yang lebih dikenali sebagai Jho Low kini berada di tanah besar China selepas melarikan diri dari Macau.

Akhbar South China Morning Post (SCMP) memetik pegawai, yang maklum tentang kes berkaiatan individu itu berkata, Jho Low “pasti” tidak berada di negara China.

“Dakwaan mengatakan beliau bersembunyi di tanah besar China sangat tidak bertanggungjawab,” kata pegawai tersebut kepada akhbar Hong Kong itu.

Semalam, SCMP memetik sumber keselamatan berkata, Jho Low dipercayai memasuki China dengan kereta atau jet persendirian.

Low, yang dikehendaki pihak berkuasa Malaysia berkaitan skandal 1MDB sebelum ini dikatakan bersembunyi di Macau, sekali gus meningkatkan usaha penahanan beliau.

Beliau dituduh terlibat dengan korupsi, rasuah dan pengubahan wang oleh agensi penguatkuasaan undang-undang di beberapa buah negara.

Polis berkata, mereka menerima emel daripada pihak berkuasa Macau pada 9 Julai lepas mengesahkan Low meninggalkan hub perjudian itu, tetapi tidak mengetahui lokasi beliau setelah itu.

“Sukar mengesannya kerana beliau dikatakan menggunakan beberapa pasport,” kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan pasport antarabangsa Jho Low, tetapi beliau dipercayai memiliki pasport negara kecil di kepulauan Carib, iaitu St Kitts dan Nevis.

Pihak pendakwa AS mendakwa sebanyak AS$4.5 bilion wang 1MDB digelapkan oleh pegawai atasan badan itu dan sekutu mereka.

Jabatan Kehakiman AS memfailkan beberapa saman sivil bagi merampas aset bernilai AS$1.7 bilion dipercayai dicuri daripada 1MDB, termasuk lukisan oleh Picasso, barang kemas dan sebuah kapal layar berharga AS$265 juta.

– FMT

.