MENGAPA KITA BERBALAH ISU NAJIB, SOAL ERMA FATIMA

KUALA LUMPUR – Pendakwaan terhadap Datuk Seri Najib Razak seharusnya menghentikan perbalahan di kalangan rakyat Malaysia, kata Erma Fatima.

Pelakon drama “Mak Cun” berkata nasib bekas perdana menteri itu seharusnya diserahkan kepada mahkamah tanpa tohmahan atau spekulasi negatif dilemparkan.

“Saya letih melihat di media sosial, orang memaki hamun satu sama lain. Saya tidak kisah beliau [Najib] salah atau tidak, beliau sudah didakwa.

“Bererti orang membenci akan puas hati. Orang yang tidak suka beliau ditangkap, akan menunggu. Keputusan mahkamah itu adalah yang paling baik untuk kita.

“Itulah kebenaran yang akan keluar. Jadi saya lebih suka beliau didakwa daripada dimaki orang. Kita pun berbalah satu sama lain. Untuk apa?

“Jadi sekarang sudah puas hati? Orang suka atau tidak Barisan Nasional, puas hati. Jadi biarlah undang-undang menentukannya,” katanya kepada ProjekMM.

Pelakon filem “Putera” menerusi coretan di Instagram mendakwa “menunggu” saat Najib ditahan pihak berkuasa.

Najib minggu lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya, berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Erma, 50, berkata apa yang menyedihkan adalah sikap orang Melayu gemar menjatuhkan hukuman tanpa menunggu perbicaraan mahkamah.

“Apa yang saya tidak suka peradaban kita sebagai orang Melayu, sudah-sudahlah membuat fitnah dan memaki hamun orang.

“Kita ini suka meramal. Kata berbagai-bagai tetapi keputusan mahkamah belum dibuat. Tunggulah keputusan itu. Kenapa mahu mencari dosa?

“Kerana Najib, sanggup membenci dan bermakian. Mengapa? Politik tidak boleh memisahkan silaturahim,” katanya.

Diminta mengulas insiden teriakan pelakon Ellie Suriati Omar di luar mahkamah, Erma berkata ia hanya disensasikan.

Katanya, Ellie mendapat tumpuan atas kapasitinya seorang artis sedangkan penyokong lain melakukan perkara sama.

“Saya bukan menyokong tetapi dia artis, jadi dia difokuskan sedangkan saya lihat di video semua orang jerit.

“Hanya kerana dia seorang artis yang berada di situ maka dia menjadi sasaran.

“Suasana sekarang masih panas selepas pertukaran kerajaan. Masing-masing masih emosi. Mungkin selepas ini akan reda sedikit,” katanya.

– https://www.projekmm.com/

.