BEKU AKAUN: NAJIB DIMINTA TULIS SURAT KEPADA KERAJAAN

DENGKIL – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Mohamed Hanipa Maidin menasihati bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak supaya mengarahkan peguamnya menulis surat kepada pihak berkuasa bagi memberi kelonggaran ke atas pembekuan akaun milik anak perempuannya.

Mohamed Hanipa berkata beliau mendapat berita bahawa anak Najib, Puteri Norlisa yang mengalami barah tahap 4 menghadapi masalah dalam pembayaran bil kimoterapi kerana akaun dibekukan.

“Jika benar apa yang dilaporkan, saya rasa tidak ada masalah untuk mantan perdana menteri itu arahkan peguam beliau menulis kepada pihak yang berkenaan bagi keluarkan sejumlah wang dari akaun yang dibekukan itu untuk tujuan pembayaran bil.

“Saya tak pasti beliau telah lakukan hal yang saya katakan itu. Jika sudah, kena ‘pushlah’ (desak) dan boleh juga tulis surat kat saya atau Mmenteri (Liew Vui Keong),” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Parlimen Sepang, semalam.

Beliau yang merupakan wakil Parlimen kawasan itu berkata pihaknya akan berbincang dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan perkara itu.

“Jika belum buat, janganlah terus tuduh Pakatan Harapan zalim,” katanya.

Bagaimanapun, Najib dalam kenyataan di laman Facebook beliau memberitahu bahawa akaun anak-anak beliau tidak lagi dibekukan.

“Pada pagi ini, saya difahamkan akaun anak-anak saya sudah lepas daripada pembekuan dan ini menunjukkan tindakan pembekuan itu dibuat tanpa sebarang asas,” kata Najib.

– FMT

.