JANGAN NAFIKAN HAK GOLONGAN LGBT, KATA ASRI

HAK golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) tidak boleh dinafikan meskipun mereka melakukan dosa, kata Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini.

Menjelaskan pandangan dan sikap Islam terhadap golongan LGBT, Asri berkata seseorang yang melakukan dosa seperti berzina, homoseksual, minum arak atau berjudi tidak boleh dinafikan haknya seperti hak pendidikan, hak jual-beli, bekerja, mendapat keadilan, harta dan seumpamanya.

“Ini termasuk LGBT tidak diganggu selagi mereka tidak melanggar peraturan-peraturan yang berkaitan hal tersebut.

“Atas dasar keadilan, semua peraturan terpakai kepada semua pihak yang terbabit secara adil dan saksama,” kata mufti itu di Facebook.

Asri juga berkata biarpun homoseksual itu satu dosa, namun ia tidak menjadikan pelakunya terkeluar dari Islam, iaitu orang itu cuma seorang Muslim yang berdosa sama seperti pendosa lain.

“Dosa semata tidak membolehkan seseorang dikafirkan. Maka seperti pendosa yang lain, keampunan Allah masih terbuka untuk mereka.  

“Sebagai Muslim, mereka ada hak-hak sesama Muslim yang wajib ditunaikan. Ini seperti nasihat-nasihati, memberi dan menjawab salam, menziarahi ketika sakit, menerima jemputan, mengiringi jenazah dan selainnya.

“Sebagai insan tanpa mengira agama mereka berhak mendapat bantuan ketika memerlukan seperti kecederaan, dalaman ancaman dan seumpamanya. Ini apa yang Nabi s.a.w sebut tentang hak-hak sesama muslim dan juga hak-hak sesama manusia dalam pelbagai nas al-Quran dan hadis,” jelas Asri.

Ulasan Asri itu muncul selepas seorang aktivis yang memperjuangkan hak LGBT diserang selepas diketahui umum bahawa beliau bekerja sebagai pegawai akhbar sementara Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pengkritik menyelar pelantikan Numan, dengan berkata tidak wajar menjadi pegawai kerajaan. Numan sebelum ini mencetus kontroversi kerana menganjur majlis berbuka puasa untuk golongan gay tahun lepas.

“Isu LGBT telah menarik perhatian rakyat Malaysia. Ia mungkin satu pengalaman baru bagi sesetengah pihak khususnya masyarakat yang kurang terdedah kepada berita dunia luar yang semakin rencam.

“Namun, di Barat, isu tuntutan hak golongan LGBT bukan lagi sesuai yang baru. Jumlah golongan ini dan kadar simpati kepada golongan ini juga meningkat,” kata Asri.

Mufti Perlis itu berkata bantahan terhadap golongan LGBT secara terbuka dibolehkan sekiranya perbuatan itu dilakukan secara terbuka dan mengganggu orang lain.

Tetapi, bantahan itu hendaklah dilakukan tanpa membawa kerosakan kepada orang lain, katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa menuduh orang lain melalukan perbuatan homeseksual adalah satu dosa besar dalam Islam.

“Hubungan seks dengan jantina sejenis menyanggahi fitrah (natural disposition) dan agama yang lurus (dalam konteks ini, Islam).

“Namun begitu, Islam tidak membenarkan kita menuduh seseorang melakukan hubungan seks yang salah seperti menuduh perbuatan homoseksual atau zina.

“Bahkan kita disuruh mengelakkan dari menerima pengakuan perlakuan seks yang tidak mengikut peraturan yang sah. Ini kerana Islam tidak suka hal seperti ini dihebohkan,” kata Asri.

Malah Nabi Muhammad sendiri menolak kes-kes maksiat peribadi dibawa ke muka pengadilan.

“Jika ada pihak yang mengaku melakukan zina ataupun homoseksual, sepatutnya kita jangan melayan dan memperdulikannya. Itu urusan taubat antara dia dan Allah.

“Kita tidak disuruh mengintip dan mencari-cari kejadian dosa peribadi seperti itu. Bahkan kita disuruh menyembunyikan dosa maksiat peribadi seseorang.”

Sementara itu, Asri berkata pendekatan dakwah kepada golongan LGBT supaya mereka kembali kepada fitrah adalah satu dakwah yang mulia.

“Kita wajar menjelaskan kepada mereka bahawa Islam menolak seruan dan amalan seks yang songsang tersebut, namun dalam masa yang sama, Islam mengiktiraf sudut-sudut yang lain dari segi keinsanan dan persaudaraan sesama muslim.

“Ajaran Islam sentiasa memberikan harapan untuk manusia kembali kepada Allah dengan penuh penuh cinta dan taubat. Agama ini tidak menjadikan manusia putus asa sebaliknya sentiasa memberikan harapan dan sinar ke arah yang lebih baik,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.