MB: HANYA SATU NAMA DICADANG CALON PRK SUNGAI KANDIS

KUALA LUMPUR, 05/06/2018. . pic by MALAYMAIL / Hari Anggara.
SHAH ALAM, 11 Julai ― PKR Selangor telah menghantar satu nama calon ke peringkat pusat bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 4 Ogos depan, kata Menteri Besar Amirudin Shari hari ini.

Menurutnya biro politik negeri telah bermesyuarat semalam dan daripada beberapa nama hanya satu nama diputuskan dan dihantar ke pihak kepimpinan pusat.

“Namun saya rasa pihak pusat belum buat keputusan lagi, apa pun terpulang kepada pusat untuk buat pertimbangan lain tetapi buat masa ini bagi Selangor kita hanya konsensus satu nama sahaja,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di pejabatnya di sini.

Sebelum ini tiga nama disebut-sebut untuk dicalonkan bertanding bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut iaitu bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Anggerik Yaakob Sapari serta dua calon muda parti itu, Mohd Radzlan Jalaluddin dan Mikael Eskandar.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kesediaan Umno Selangor meletakkan calon bertanding pada PRK tersebut dengan menggunakan lambang parti itu sendiri, Amirudin menyifatkan ia sebagai satu proses demokrasi.

“Ini negara demokrasi jadi masing-masing boleh bertanding dalam pilihan raya semestinya ada dua atau tiga parti bertanding. Yang penting bagi pihak PKR dan Pakatan Harapan kita akan cuba sedaya upaya bertanding dan mengekalkan kerusi yang telah kita menangi sejak 2008,” katanya.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong susulan penyandang kerusi berkenaan Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos sebagai hari pengundian manakala hari penamaan calon pula pada 21 Julai ini.

― Bernama

.