FADIAH, APA SALAHNYA MONARKI?

Fadiah Nadwa Fikri adalah nama yang menarik perhatian penulis lantaran pandangan kritikalnya terhadap institusi raja-raja di negara ini.

Fadiah menerusi tulisan dalam artikel “Jangan engkau cium tangan yang memukulmu” yang disiarkan dalam laman sesawang Malaysia Muda telah mengundang pelbagai reaksi.

Dalam tulisan Fadiah membuat satu kesimpulan yang secara terang-terangan ‘menyerang’ tiang seri negara apabila berkata:

“Satu kesimpulan jelas: bukan sahaja monarki antidemokrasi, malah ia serangan langsung ke atas martabat kita sebagai manusia. Tatkala penyokong peninggalan kuno ini menghujahkan bahawa monarki sebagaimana wujudnya pada hari ini hanyalah perhiasan perlembagaan yang neutral, realiti menunjukkan sebaliknya. Kita harus melihat melampaui apa yang tertulis dalam perlembagaan untuk memahami politik yang diamalkan institusi ini, kepentingan siapa yang ia wakili, dan di pihak mana ia berada.”

Aktivis wanita itu menjadikan keluarga diraja Johor sebagai contoh untuk menjustifikasikan rasa tidak bersetujunya dengan institusi Raja-raja. Tidak pula disebut keluarga diraja dari negeri-negeri Melayu lain di Malaysia.

Berdasarkan pemahaman penulis, jelas Fadiah menyuarakan rasa tidak puas hatinya dengan Kesultanan Melayu Johor yang turunnya daripada keluarga Temenggung Daeng Ibrahim.

Benar, tiada satu sistem pun yang sempurna dalam mengurus tadbir pemerintahan, namun sehingga hari ini sistem monarki berperlembagaan dan demokrasi berparlimen adalah yang terbaik untuk negara.

Di Malaysia, kuasa Raja-raja diikat dengan perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri, yang setiap Raja hendaklah bertindak setakat mana yang dibenarkan undang-undang. Tiada sesiapa pun boleh mengatasi undang-undang yang tertulis.

Jika benar monarki itu antidemokrasi, bagaimana mungkin rakyat boleh memilih Pakatan Harapan membentuk kerajaan bagi menggantikan BN. Raja-raja meraikannya dan melantik perdana menteri daripada Pakatan Harapan.

Politik yang diamalkan oleh monarki di Malaysia adalah politik membela agama Islam, orang Melayu dan menjaga kepentingan sah kaum lain. Semuanya disebut dalam perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri.

Pada penulis tidak ada salahnya dengan monarki. Banyak negara lain membuktikan monarki mengangkat martabat kebebasan rakyatnya diselangi dengan kemakmuran dan keadilan sosial yang hebat.

Lihat sahaja Belanda, Belgium, Sweden, Norway, Denmark, Sepanyol, Jepun dan Qatar. Negara-negara berkenaan cukup maju meliputi hampir semua aspek, di mana ketua negaranya adalah Raja.

Dalami sebab-musabab

Difahamkan Fadiah juga adalah seorang pengamal undang-undang dan sewajarnya beliau tahu mengenai perkara ini, bukan sahaja secara literal tetapi mendalami sebab musabab yang tersirat mengapa wujud Raja-raja di Malaysia.

Jika Fadiah menggunakan hujah nilai kebebasan untuk rakyat, percayalah rakyat Malaysia yang marhaen jauh lebih bebas daripada batang tubuh yang menjadi Raja-raja.

Contoh mudah, rakyat bebas berkunjung ke pusat beli-belah dan membawa keluarga berjalan-jalan. Malah hendak duduk mencangkung sambil menikmati durian pun tiada masalah.

Penulis tidak fikir Raja-raja di negara ini mampu berbuat seperti rakyat di bawah. Itulah harga yang terpaksa dibayar Raja-raja. Tiada kebebasan mandiri seperti rakyat kerana terlalu terikat dengan protokol dan peraturan istana.

“Mengapa golongan yang darahnya merah, semerah darah mereka yang dipaksakan kepatuhan kepada golongan itu mempunyai hak keistimewaan tersendiri?” tanya Fadiah.

Hak istimewa apa jika terpaksa menanggung dosa satu negeri dan setiap rakyatnya. Hak istimewa apa jika hendak memeluk kawan sepermainan pun ditegah pembesar istana. Hak istimewa apa jika makan roti canai di kedai mamak sambil memakai baju pagoda pun akan diumpat sekalian rakyat jelata.

Sedangkan golongan yang darahnya merah, semerah darah mereka dan dipaksakan patuh itu pula bebas menikmati kemakmuran negeri yang diperintah Raja yang langsung tidak menikmati kebebasan seperti rakyatnya.

Pada penulis, setiap manusia dilahirkan berbeza-beza, sama ada mengikut jantina, kaum, warna kulit, darjat, agama dan kerakyatan. Ini supaya kita boleh saling belajar dan berkenalan. Pada akhirnya, Tuhan juga yang akan menghakimi kedudukan kita sebenar-benarnya.

B NANTHA KUMAR seorang wartawan bebas.

– M’kini

.