PAKATAN PERTIMBANG KIT SIANG UNTUK JAWATAN SPEAKER, KATA LAPORAN

KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) dilaporkan mempertimbangkan dengan serius pencalonan penasihat DAP Lim Kit Siang sebagai speaker Dewan Rakyat yang baharu.

Laporan portal Free Malaysia Today (FMT) hari ini menyebut, pelantikan ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dijangka akan diumumkan hari ini.

Menurut sumber dalam laporan itu, Lim, 77, lebih diutamakan atas pengalaman luasnya di Parlimen dan juga pengetahuan berhubung peraturan mesyuarat.

“Kit Siang ada pengalaman berdekad lamanya berbahas di Parlimen, bukan sahaja dengan ahli Parlimen tetapi juga dengan speaker berhubung prosedur Parlimen.

“Dia bagaikan kamus yang bergerak dalam soal peraturan Dwan, jadi sukar untuk tidak mengambil kira beliau untuk jawatan itu,” kata sumber itu lagi yang tidak dinamakan.

Lim menjadi ahli Parlimen DAP sejak tahun 1969 dan berkhidmat sebagai ketua pembangkang selama 30 tahun.

Menurut sumber tersebut seorang lagi calon untuk jawatan speaker, bekas menteri Umno, Rais Yatim mendapat tentangan dari pemimpin dalam PH.

“Tidak sukar untuk membayangkan Rais duduk di kerusi speaker (namun) terdapat tentangan dari kalangan gabungan parti pemerintah, terutamanya kerana beliau dilihat sebagai pemimpin dari kerajaan lama,” kata sumber FMT seperti dipetik portal itu.

Seorang lagi calon, ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul juga mendapat tentangan ekoran penglibatan wakil rakyat PKR itu dalam agensi kontroversi Biro Tana Negara (BTN) sebelum ini.

Agensi dalam pentadbiran BN itu menerima kritikan meluas kerana menjalankan program indoktrinasi ke atas penjawat awam untuk menyokong parti tersebut.

– https://www.themalaysianinsight.com

.