SUHAKAM SELAR SYED SADDIQ ‘TUNDUK’ PADA PENGKRITIK ANTI LGBT

SURUHANJAYA Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengecam Menteri Belia dan Sukan yang baru dilantik, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kerana terus senyap dan tidak mempertahankan stafnya yang dikaitkan dengan aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).

Pengerusi Suhakam Razali Ismail berkata Syed Saddiq gagal mengambil “pendirian berprinsip” dalam mempertahankan Numan Afifi, yang meletak jawatan sebagai pegawai media Syed Saddiq susulan kritikan umum susulan berita pelantikan itu.

“Suhakam mendapati malang bagi menteri belia dan sukan untuk tunduk kepada tekanan umum dan tidak mengambil pendirian berprinsip atas perkara ini yang membabitkan prinsip hak asasi manusia tentang kesamarataan dan tanpa diskriminasi dalam pengambilan pekerjaan di tempat kerja,” kata Razali dalam satu kenyataan hari ini.

Suruhanjaya itu berkata Numan sepatutnya dinilai berdasarkan kelayakannya dan bukan “dianggap tidak sesuai untuk jawatan itu hanya kerana orientasi seksualnya, di mana ciri itu tidak relevan langsung dengan pencapaian kerja”.

“Suhakam ingin memaklumkan kami menerima banyak aduan daripada masyarakat LGBT tentang pelanggaran hak asasi manusia, termasuk gangguan dan layanan buruk, buli, serangan dan keganasan seksual, intimidasi, tidak dibenarkan bekerja dan dinafikan peluang pendidikan selain rawatan perubatan, hanya kerana orientasi seksual dan identiti gender mereka,” kata Razali.

“Kerajaan perlu mempertahankan setiap orang sementara memegang dengan teguh prinsip kesamarataan dan tidak diskriminasi mengikut Perlembagaan Persekutuan kita.”

Pengkritik berkata Numan tidak sesuai untuk jawatan penjawat awam itu, di mana beliau dilabel sebagai “pejuang LGBT”.

Numan pada Isnin berkata beliau akan meletak jawatan kerana kecaman itu.

Organisasi persatuan sivil dan beberapa ahli politik mempertahankan Numan dan berkata pilihan kehidupan peribadinya tidak sepatutnya menjadi asas pelantikannya, dan kerajaan baharu Pakatan Harapan sepatutnya memegang janjinya untuk berubah dan inklusif bagi setiap ahli masyarakat.

– https://www.themalaysianinsight.com

.