PUTRAJAYA PATUT PERBAIKI NILAI RINGGIT, KATA AKHBAR KEWANGAN

AKHBAR kewangan berpengaruh Nikkei Asian Review menggesa Putrajaya menjalankan usaha untuk memperbaiki nilai Ringgit dan meningkatkan semula keyakinan pelabur.

Menurut akhbar itu, pelabur pada masa ini tidak yakin dengan kemampuan kerajaan baharu pimpinan Dr Mahathir Mohamad menghasilkan pertumbuhan ekonomi.

Dalam laporan kritis itu, akhbar tersebut turut membangkitkan kebimbangan mengenai langkah Putrajaya memansuhkan cukai barangan dan jualan dan kajian semula ke atas projek infrastuktur bawah kerajaan lama.

Nikkei turut membangkitkan mengenai penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas Dr Mahathir mengambil alih pentadbiran negara.

“Ringgit stabil sejurus selepas Dr Mahathir mengambil alih jawatan pada Mei kerana mempercayai beliau boleh memberi lebih tumpuan kepada pasaran setelah membawa Malaysia keluar ketika kegawatan ekonomi pada akhir 1980-an.

“Tetapi mata wang itu semakin lemah hingga melebihi RM4 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hingga akhir Jun, ketika kebimbangan mengenai kemampuan kewangan negara meningkat,” lapor akhbar itu.

Selain itu, pengumuman kerajaan mengenai tahap hutang negara Malaysia mencecah lebih RM1 trilion pula memburukkan lagi keadaan, lapor Nikkei.

Oleh itu, akhbar berkenaan menggesa kerajaan agar membawa Malaysia kembali ke landasannya bagi memperbaiki situasi ringgit.

“Ia memerlukan strategi pembangunan yang jelas di samping langkah-langkah penjimatan yang sedang berlaku.”

Ia turut memerhatikan bahawa Dr Mahathir bertungkus lumus menyabitkan kerajaan pimpinan Najib Razak dengan kes rasuah, namun tidak mengemukakan tawaran baharu dalam bentuk dasar ekonomi.

Sebaliknya, Dr Mahathir hanya memperkenalkan semula dasar lama, seperti pengumumkan untuk menubuhkan satu syarikat kereta nasional baharu.

Masa depan bagi syarikat baharu yang mahu ditubuhkan oleh Dr Mahathir itu tidak jelas memandangkan industri automotif dunia kini berubah dengan mendadak, lapor Nikkei.

Ia turut memerhatikan bahawa Proton Holdings yang diasaskan Dr Mahathir sebelum ini juga tidak boleh dianggap satu kejayaan kerana merekodkan jualan tidak memberangsangkan sejak beberapa tahun lalu.

Kritikan itu timbul semalam selepas Putrajaya memohon kredit Yen dari Tokyo dalam bentuk pinjaman mudah pada bulan lalu untuk membantu menyelesaikan masalah hutang dihadapi negara.

– https://www.themalaysianinsight.com

.