TAHFIZ PERSENDIRIAN MERBAHAYA JIKA TAK SETARAF SEKOLAH KEBANGSAAN

ULASAN | Gambar atas: Pelajar -pelajar Maahad Mahmud dalam uniform sekolah yang dimodenkan oleh Allahyarham Sheikh Abdul Halim untuk membezakan dengan sekolah-sekolah pondok yang berkupiah putih dan berkain sarung. Di belakang sekali nombor lima dari kiri ialah Dr.Halim Ismail, bekas pengarah urusan Bank Islam pertama dan saya di sebelah kanannya.

Kenapakah anjuran saya supaya ditutup sekolah persendirian tahfiz telah membangunkan gelora reaksi yang lebih hebat daripada pandangan saya yang sama terdahulu. Siapakah saya tanpa kuasa politik, kedudukan berpengaruh untuk ditakuti?

Golongan yang membantah ini terutamanya daripada pedagang-pedagang kelas tahfiz dan juga kalangan agama yang menjangka kerajaan tidak lagi akan memberikan perhatian kepada perakuan-perakuan untuk pengawalan dan penyeliaan sekolah ini.

Pertumbuhan sekolah-sekolah tahfiz ini berlaku dengan liar kerana kerajaan Barisan Nasional yang lalu membiarkannya kerana takut kehilangan pengaruh keharmonian politik tanpa melihat bahayanya.

Ini terus berlaku sekalipun Jawatankuasa Tindakan Khas Mengenai Sekolah Tahfiz ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ekoran beberapa tragedi buruk di sekolah tahfiz dan pendedahan kepincangan kelemahannya.

Khabarnya blue print yang inklusif telah pun disiapkan berasaskan kepada siasatan dan perbincangan dengan semua pihak yang berkelayakan didalam bidang keselamatan, pelajaran dan pegawai jabatan-jabatan agama.

Standard bangunan sekolah

Tentunya jawatankuasa ini mengambil kira standard bangunan sekolah, persekitaran dan keperluan lain untuk memperbaiki taraf supaya sama dengan sekolah-sekolah kebangsaan di negara ini.

Jika kerajaan sekarang tidak mengambil tanggungjawab ini, maka tentunya sekolah-sekolah ini akan terus berada pada taraf yang rendah dan bergantung kepada bantuan ramai. Mereka tidak akan mampu berdiri sendiri seperti sekolah-sekolah Cina yang boleh berkembang subur atas kemampuan masyarakatnya yang kaya.

Imej murid-murid sekolah tahfiz sebagai peminta sedekah akan terus kelihatan. Kita tidak seharusnya menghadapi masalah Al Arqam sekali lagi.

Saya akui saya tidak mengemukakan sebarang cadangan yang konstruktif dalam mengesyorkan penutupan sekolah-sekolah tahfiz persendirian ini kerana memikirkan perakuan yang komprehensif berasaskan kajian dan perbincangan semua pihak dengan kepakaran masing-masing telah pun dikemukakan kepada jawatankuasa berkenaan tetapi semuanya hanya hangat-hangat tahi ayam dan mahu disapu di bawah tikar.

Tanggungjawab ini sekarang mestilah dipikulkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) pimpinan Perdana Meneri kali kedua Tun Dr Mahatir Mohamad.


Menteri Agama yang baru Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa (gambar) dan Menteri Pelajaran Dr Maszlee Malik yang merupakan tokoh modenis Islam yang sefahaman dalam pendekatan Islam yang terbuka dan progresif tentu dapat menjalankan tugas yang berkesan dalam bidang ini.

Jika keadaan sekolah-sekolah ini terbiar tanpa penyeliaan maka pastinya akan menyuburkan kebangkitan dissenters (penentang) dan pelampau di negara ini kerana tekanan perasaan sebagai rakyat kelas kedua dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan aliran perdana.

Menggerunkan institusi-institusi yang beridentiti kearaban ialah mesej, Datuk Dr Mujahid sebaik sahaja dilantik menjadi menteri agama di JPM. Katanya “Islam di Malaysia mesti digayakan seperti orang Islam tempatan” dan beliau juga telah bertanya: “Adakah dengan memakai songkok dan baju Melayu kita tidak boleh menjadi tahfiz?”

Manakala Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik (gambar) menegaskan “saya tidak mahu politik kepartian sempit mempengaruhi insitusi-institusi pendidikan yang bakal membentuk masa depan anak kita.”

Bagi saya yang berasal daripada sekolah Arab dan sekolah agama yang pertama dimodenkan di negara ini di tengah-tengah suasana pertumbuhan pondok di Kedah iaitu Maktab Mahmud atau Maahad Mahmud pada tahun 1950an, saya tidak menganggap kecil dan remeh kenyataan ini tetapi akan membawa suatu perubahan besar dalam membangunkan imej Islam moden selari dengan nilai keilmuannya di negara ini jika kedua-dua menteri ini berani “walk the talk.”

Negara mempunyai sejarah yang panjang untuk membawa ketamadunan dalam perkembangan sekolah-sekolah agama yang bermula daripada pondok terutama di Kedah dengan baginda-baginda Sultan sendiri memberi perhatian.

Mudir Maktab Mahmud Alor Setar yang pertama Sheikh Abdulah Halim dengan berani membawa pemodenan dalam mata pelajaran dan juga imej Maahad yang membezakannya dengan sekolah-sekolah pondok walaupun menimbulkan kemarahan di kalangan guru-guru pondok yang konservatif di Kedah.

Mata pelajaran akademik

Selain daripada memperkenalkan mata pelajaran akademik beliau juga memperkenalkan uniform sekolah berkemeja putih, berseluar kain kaki panjang dan bersongkok hitam.

Tujuannya adalah untuk membezakan dengan sekolah-sekolah pondok yang murid-muridnya berkopiah putih, berkain sarung dan berbaju Melayu yang dipanggil pak lebai.

Beliau mahu uniform pelajar Maktab Mahmud kemas seperti Sultan Abdul Hamid College Sekolah Inggeris yang terkemuka di Kedah. Pelajar-pelajar Maahad aktif dalam bidang sukan, drama dan lain-lain yang menaikkan imej maktab.

Saya sempat melalui proses ini di Maktab Mahmud sekalipun tidak panjang masa saya di sini.

Bekas pelajar-pelajar Maahad Mahmud yang seangkatan dengan saya sukar untuk meninggalkan songkok hitam setelah memakainya selama 8 tahun.

Mereka termasuk Allahyarham Presiden PAS Datuk Fadzil Noor, bekas Menteri Besar Kedah (PAS) Allahyarham Datuk Azizan Razak dan kawan-kawan saya seperti bekas Duta Malaysia di Arab Saudi Datuk Dr Ismail Ibrahim, bekas pengarah urusan Bank Islam yang pertama Datuk Dr.Abdul Halim Ismail dan beberapa orang pegawai tinggi kerajaan lagi yang sampai sekarang masih lebih selesa dengan songkok hitam.

Jika tidak kerana penghayatan yang diberikan oleh Sheikh Abdul Halim, saya tidak fikir kami akan ke sekolah Inggeris malam dan petang.

Kerana kesedarannya juga terhadap bahasa Inggeris maka anaknya Ahmad Fairuz (Tun) berjaya menjadi ketua hakim negara dan anak perempuannya menjadi pemberita Berita Harian.

Baru-baru ini saya menerima ucapan selamat hari raya daripada Tun Fairuz yang antara lain mencatitkan, “semasa Allahyarham ayahanda saya masih hidup dia selalu juga mengesahkan hal Tan Sri kepada saya dan saya ikuti aktiviti Tan Sri sebelum dan semasa menjadi menteri, juga selepas menjadi menteri.”

Saya bukanlah kawan kepada Datuk Mujahid Yusof Rawa tetapi kawan kepada bapanya Yusof Rawa seorang nasionalis yang berani dan pemimpin-pemimpin PAS yang lain seperti Datuk Asri Haji Muda, Hassan Adli, Abu Bakar Hamzah yang mendukung perjuangan nasionalisme dan Islam.

Yusof Rawa mempunyai sejarah yang menarik dan kali terakhir saya menemuinya semasa beliau menjadi Duta Malaysia di Iraq di zaman Tun Hussein Onn.

Semasa mereka mendukung PAS, imej PAS adalah sebagai parti nasionalis walaupun memperjuangkan agama tetapi ini bertukar kepada imej pelampau agama yang taksub, bengis dan ganas bila dipimpin oleh ulama.

TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN ialah bekas menteri penerangan dan bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu. Tulisan ini asalnya terbit di blog beliau.

– http://zamkata.blogspot.com

.